Aisar Khaled Jawab Video Tular Ketika Proses Dia Disuntik Vaksin, Sentuh Soal ‘Prank’ Pengsan – “Tak Timbul Isu Saya Influencer Atau…”

Share

Personaliti media sosial, Aisar Khaled tampil menjelaskan berhubung video tular yang merakamkan dirinya mengenakan baju ketat ketika proses suntikan vaksin, minggu lalu.

Sekali gus, ia menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan netizen.

Menerusi video tersebut, Aisar atau nama sebenarnya, Aisar Khaled Kamel turut ditegur petugas di pusat vaksinasi mengenai pemakaiannya pada ketika itu sehingga dia terpaksa membuka sebahagian butang atas baju kemeja yang dipakai.

“Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf dan saya tidak berniat untuk memakai baju yang ketat. Saya rasa baju tu biasa sahaja dan mungkin sebab dulu saya kurus. Baru-baru ni saja baru saya buat badan sikit di gym, jadi sebab tu agak ketat sikit kot (gelak).

“Lagi pun doktor tu tak marah pun. Dia sekadar bergurau sahaja dan tidak ganggu proses suntikan pun sebab semuanya mengambil masa hanya sekejap saja. Cuma, saya perlu buka baju sikit dan semuanya berjalan lancar seperti biasa. Tidak ambil masa yang lama pun,” jelasnya menerusi Remaja.

Bintang muda berusia 21 tahun ini juga turut memberi reaksi mengenai kritikan sesetengah pihak yang mendakwa, golongan selebriti seolah-olah diberikan kelonggaran untuk merakam momen menerusi suntikan vaksin.

“Sebenarnya saya terlebih dahulu telah meminta keizinan daripada doktor yang bertugas ketika itu. Pada mulanya, memang dia tidak beri izin tapi selepas meyakinkan doktor itu, saya diberi kebenaran untuk merekodkan video dengan syarat hanya sekejap sahaja dan tidak menganggu kerja mereka.

“Tidak timbul isu saya seorang influencer atau tidak kerana doktor tu pun tak kenal siapa saya. Niat saya untuk memuat naik video tersebut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang pengambilan suntikan vaksin ini.

“Mungkin masih ada lagi yang belum mendaftar, dan saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya untuk masyarakat kita menerima vaksin,” katanya.

Dia pada masa sama, turut menjelaskan bahawa semuanya terpulang kepada budi bicara kerana dia sendiri melihat ada sahaja individu lain turut berbuat demikian.

“Saya rasa masih ramai lagi individu lain yang merekodkan video ketika divaksin. Mungkin mereka juga telah mendapat keizinan doktor untuk melakukan perkara itu.

“Jadi, tidak timbul isu tidak adil atau sebaliknya kerana kami semua seperti orang lain yang meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum merekod video,” tambahnya lagi.

Aisar turut menjawab mengenai video dirinya melakukan ‘prank’ pengsan selepas disuntik vaksin kepada beberapa rakan serumahnya di YouTube.

“Kalau penonton menonton video itu dari awal, saya memang terang-terang dah beritahu bahawa itu adalah sebuah video prank hanya untuk melihat reaksi rakan serumah.

“Saya tidak berniat untuk menakutkan masyarakat dan awal-awal lagi saya memang dah jelaskan bahawa itu hanya prank untuk rakan-rakan sahaja. Jadi, tidak timbul isu saya nak menakut-nakutkan masyarakat tentang vaksin ini,” katanya.

Sumber, Foto: Remaja, Instagram Aisar Khaled

Published by
MH