Aizat Amdan Kahwin 14 Ogos Ini; “Elyssa Ibarat Kopi, Sering Buatkan Saya Ceria.”

Share

Penyanyi Aizat Amdan, 33, mengumumkan dia bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hati yang merupakan pengurus peribadinya, Elyssa Alia Ilias, 34, pada 14 Ogos ini.

Majlis pernikahan dan resepsi pasangan itu akan diadakan di A-Park, Puchong, Selangor.

Menurut Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan dia merasakan kini merupakan masa yang paling sesuai untuk dirinya melangkah ke fasa baharu.

“Saya rasa sekarang adalah the right time, right moment sebab saya bertemu dengan Ellysa hampir tiga tahun lalu.

“Kami sebenarnya bermula menjadi kawan lepas lama-lama ia jadi natural sampai rasa ingin berkahwin.

“Elyssa ibarat kopi saya, dia banyak memberikan tenaga, menceriakan saya dan mengajar saya untuk tidak pentingkan diri sebab saya jenis tak reti ekspresikan diri.

“Dari situ saya banyak belajar dengan dia, kalau ikutkan dia memang lagi banyak bercakap daripada saya,” kata Aizat kepada MH.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Hanya Kita Dua di pejabat Indigital di Damansara Perdana, Selangor pada Rabu.

Sempena meraikan hari bahagianya itu, Aizat turut mendedikasikan lagu terbaharunya itu buat bakal isterinya.

Jelas Aizat, lagu yang sudah diciptakan beberapa tahun lalu itu merupakan kesinambungan daripada lagu Sampai Ke Hari Tua  yang seringkali menjadi lagu tema majlis perkahwinan.

“Lagu ini memang bertemakan perkahwinan dan saya ambil kesempatan untuk mendedikasikan lagu ini kepada bakal isteri sempena majlis perkahwinan saya.

“Bukan semata-mata untuk kami tapi saya juga mahu semua pendengar menikmatinya sebagai sebuah karya baharu, segar dan manis pada semua,” katanya yang telah merisik bakal isterinya pada Februari lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar