Hiburan

Ajai Sedia Cipta Lagu Baru Buat Hafiz Suip, Bantu Mulakan Semula Kerjaya Seni

Share

Komposer dan penulis lagu terkenal, Ajai tidak pernah meragui kemampuan penyanyi Hafiz Suip seterusnya mengundang penyanyi tersebut ke ‘Konsert ByAjai & Mega Friends’ baru-baru ini.

Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, Hafiz sentiasa memberikan komitmen yang tinggi meskipun kini sudah menetap di Kuala Lumpur.

“Saya kenal Hafiz sebagai seorang yang profesional ketika bekerja walaupun ditimpa pelbagai masalah. Dia sentiasa bertanggungjab dan berikan komitmen yang tinggi.

“Ketika sesi latihan, dia sanggup terbang ke Kuala Lumpur dan keesokkannya dia pulang semula ke Sarawak,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Ajai turut memaklumkan dirinya bersedia untuk membantu Hafiz memulakan semula perjalanan sebagai penyanyi selepas memutuskan untuk berehat sebelum ini.

“Sudah tentu saya akan bantu dia. Pintu sentiasa terbuka. Saya tak pernah paksa mereka untuk menyanyikan lagu ciptaan saya sahaja.

“Ada kalanya, mereka mahu cuba satu kelainan dengan komposer lain. Namun, bila mereka sudah mencuba tapi tidak kesampaian dengan kehendak hati, mereka boleh kembali kepada saya. Saya tidak akan berkira,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai pemilihan lagu yang dinyanyikan oleh Hafiz pada konsert tersebut, Ajai mendedahkan lagu Ku Akui dan Sesal Separuh Nyawa mempunyai maksud yang sangat mendalam.

“Lagu-lagu ini saya sudah ciptakan lama. Ia menceritakan mengenai orang-orang yang bekerja keras dan kadang-kala lupa untuk meluangkan masa dengan orang tersayang. Rasanya semua orang lalui situasi itu.

“Lirik-lirik saya ini bersifat universal. Tunggu hari sahaja dan lagu itu boleh kena dengan kehidupan kita.

“Hafiz merupakan seorang penyanyi yang menghayati lirik itu dalam-dalam,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Ajai akui teruja kerana dapat membawa Illa Sabri bersama di atas pentas namun, usaha mencari Erima pula gagal.

“Illa Sabri dipanggil kerana permintaan yang tinggi daripada peminat. Saya dengar suara mereka. Namun, untuk lagu Pelita Di Bawah Bulan Purnama, saya tak dapat nak mencari Erima.

“Usaha itu ada tapi tak jumpa. Kalau tak silap saya, dia tinggal di Sarawak. Mungkin saya akan panggil dia pada konsert-konsert akan datang,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf