Pengacara dan pelakon, Zulin Aziz tidak menafikan dia ada menasihati suaminya, Farhan Norzaini untuk tidak menghiraukan mana-mana komen negatif netizen di media sosial.
Menurut Zulin, dia berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang isu pada masa akan datang selain memilih untuk memadam komen yang tidak sesuai, mengharapkan agar isu dibangkitkan oleh pengguna media sosial terhadap sesebuah hantarannya tidak berpanjangan.
View this post on Instagram
“Saya dah ajar suami dari awal, jangan pernah baca komen netizen. Saya pula jenis suka padam komen-komen negatif. Mungkin ramai yang tanya, kenapa nak padam? Bagi saya, kita ada kuasa kawal media sosial kita.
“Kenapa kita nak biarkan dia berbuat demikian dan menjaga hati orang yang komen buruk kepada kita? Sepatutnya, kita ada hak ke atas platform kita sendiri dan buang benda-benda yang tidak elok,” katanya.
Bintang yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama Farhan pada 20 Februari lalu itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman pakej umrah bersama barisan selebriti oleh Syabibah Travel & Tours, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dengan memadam komen negatif yang ditinggalkan netizen, ia dapat membendung komen-komen lain daripada terus merebak.
View this post on Instagram
“Kalau seorang berani tinggalkan komen berbaur negatif, akan ada rantaian lain yang akan komen di bawah komen berkenaan. Jadi kita putuskan rantaian itu untuk elak daripada isu tersebut diperbesarkan.
“Tak perlulah balas balik. Orang seperti ini hanya mahukan perhatian. Kalau kita komen lagi mereka suka. Kalau betul nak beri nasihat, ada laluan lain yang lebih elok boleh digunakan,” katanya lagi.
View this post on Instagram
Dalam perkembangan lain, Zulin bakal mengerjakan umrah pada Ramadan bersama suami menerusi pakej umrah yang diperkenalkan oleh Syabibah Travel & Tours.
“Ketika saya menerima panggilan yang menawarkan saya untuk turut serta dalam program ini, saya memang berada di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah pertama Januari lalu.
“Ketika itu, memang saya berdoa ingin kembali menjadi tetamu Allah. Memang betul doa saya dimakbulkan dengan pantas. Jadi, dengan hati terbuka, saya terus bersetuju,” katanya.
Selain Zulin dan suami, pakej umrah tersebut turut melibatkan barisan artis lain seperti pelakon Saharul Ridzwan, Bell Ngasri dan Faizal Ismail.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI