“Akan Gunakan Untuk Beli Pakaian, Buat Rawatan Rambut Dan…,” – Selepas Dapat Hadiah Dari PM, Sugu Pavithra Terima Gaji Sulung Sebagai YouTuber

Share

Pasangan YouTuber suami isteri, ‘Sugu Pavithra’ yang kian meraih perhatian menerusi barisan video masakan, sudah pun mendapatkan ‘gaji’ daripada laman YouTube.

Menrusi laporan Bernama, S. Pavithra datang ke Pejabat Pos Besar Perak dari Sungai Siput bagi membuat tuntutan bayaran gaji tertunggak itu sebaik menjadi rakan YouTube (YouTube Partner) dengan penuh kegembiraan dan berbekalkan beberapa perancangan untuk keluarga tersayang.

Ibu kepada dua anak berusia 28 tahun yang berasal dari Buntong ini seperti yang dipetik memberitahu, gaji sulung sebagai YouTuber itu antaranya, akan digunakan untuk membeli pakaian baru buat mereka sekeluarga.

“Kami bukan orang senang. Sekarang dah dapat gaji walaupun tak banyak seperti yang heboh orang bincang di media sosial, tetapi saya dan suami sangat gembira kerana lama menunggu dengan penuh sabar.

“Saya akan gunakan untuk beli pakaian, membuat rawatan rambut dan membeli barangan kelengkapan sembahyang di rumah,” katanya.

Sementara itu, dia dan suami M. Sugu turut menafikan mereka telah membuka beberapa akaun Facebook dan Instagram atas nama ‘Sugu Pavithra’ sejak 16 Mei lepas.

Sebaliknya mereka setakat ini hanya mempunyai akaun YouTube sahaja.

“Saya berharap kawan-kawan (warganet) dapat membantu laporkan kepada pihak berkuasa perkara ini kerana saya bimbang ada yang akan mengambil kesempatan,” kata lelaki berusia 29 tahun itu.

Pada masa sama, Pavithra turut mengucapkan berterima kasih kepada Bernama kerana menjadi media pertama menyiarkan laporan temu ramah bersamanya pada 8 Mei lalu, sekaligus melonjakkan namanya di laman sosial.

Terdahulu, pasangan ini turut menerima perhatian ramai apabila mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut disertakan bersama beberapa hadiah termasuk tripod yang menjadi perangsang buat mereka untuk terus berkongsi video memasak.

“Selepas tersiar temu ramah dengan Bernama saya mula sibuk, setiap hari berpuluh-puluh panggilan dan ada juga stesen radio dari India yang mahu temu ramah saya, kerana suami pemalu.

“Hidup kami kini berubah dan saya terpaksa menyediakan satu buku untuk susun jadual temu ramah atau kunjungan,” katanya lagi.

Pavithra berkata disebabkan itu, dia dan suami tidak dapat berkongsi klip video memasak dengan kerap kerana hanya mempunyai satu telefon bimbit dan risau terdapat panggilan masuk jika sedang membuat rakaman.

Sumber: Bernama

Published by
MH