Akan ‘Makan’ Artis Lain Kalau Duet? “Anggap Saya Macam ‘Buaya’. Saya Bukan Begitu,” – Azharina

Share

Penyanyi Azharina mendedahkan rasa tidak selesa dengan kata-kata segelintir pihak yang membayangkan dirinya akan ‘makan’ artis lain andai membuat persembahan secara duet.

Meski sedar akan penyataan sedemikian adalah kata kiasan yang memuji vokalnya, namun dalam sisi lain ia secara tidak langsung boleh memberi kesan tidak baik bagi dirinya serta rakan artis lain.

“Orang melihat daripada persembahan saya dengan bekas peserta Gegar Vaganza (GV) sebelum ini, Shafie Rio.

“Akan tetapi perlu diingat, markah saya sebagai rakan duet adalah kosong. Saya cuma menyokong persembahan artis yang bertanding.

“Permarkahan sepenuhnya diberikan kepada juri profesional, jadi ia tidak adil kalau ada yang kata saya ‘makan’ rakan duet. Saya kesal… Orang anggap saya macam ‘buaya’. Saya bukan begitu.

“Apa pun saya faham yang beri pandangan sedemikian ada yang berniat positif dengan menghargai bakat nyanyian saya. Cuma its not nice bunyinya kepada rakan duet,” katanya kepada MH.

Terdahulu, perkara itu timbul apabila bintang asal Sabah itu ada memuat naik status di Facebook menyayakan rasa kesal apabila ada pihak yang memberikan tuduhan melulu kepada One Nation Emcee terhadap dirinya.

ONE dan Azharina bergandingan menyampaikan lagu Layar Impian, nyanyian asal Ella menerusi tema Haa Tepok dalam GV6 minggu keempat, Ahad lalu.

“Orang tidak melihat kelebihan kepada rakan artis lain pula yang duet dengan saya. Misalnya saya pernah berpadu suara dengan Hazami dan Idayu.

“Mereka hanya nampak satu persembahan duet yang itu sahaja,” katanya yang mulai sedar akan ‘cakap-cakap belakang’ mengenai perkara itu selepas dikongsi rakan artis.

“Artis itu mendapat ‘amaran’ dari kalangan yang terlibat dalam industri menyatakan bahawa saya akan ‘makan’ mereka. Cakap padanya supaya hati-hati… I ni ‘makan oranglah’, jangan bagi banyak ‘part’ kat I, I ni suka overshadow dan sebagainya.

“Dia bercakap itu bukan dalam sudut positif. Tapi rasanya dia ada good intention yang baik terhadap saya dan saya tidaklah mahu perbesarkan isu ini.

“Sejujurnya kalau dia tahu dia siapa, saya nak ucap terima kasih kepadanya. Sebab dia membakar semangat saya untuk membuat persembahan dengan One Nation Emcee dan berikan yang lebih baik.

Ditanya sama ada persepsi tersebut mengganggu atau bermain di fikiran setiap kali menerima pelawaan duet, penyanyi Cinta Terbagi Dua ini tidak menafikan hal berkenaan.

“Mestilah. Nak naik pentas tadi pun ada yang cakap saya ‘buaya’. Saya penyanyi, saya sedar saya miliki vokal yang besar akan tetapi sebagai penyanyi yang bijak, kita kena tahu siapa rakan duet.

“Kena study dia punya karektor vokal. Sama macam One Nation Emcee yang hadir sebagai sebuah kumpulan. Jadi saya sendiri kena sama tara dengan mereka, termasuk dengan energi.

“Lebih-lebih lagu apabila lagu yang telah disampaikan itu berbeza dengan versi asalnya. Saya juga kena belajar menari.

“Saya sendiri belajar daripada mereka dan kami sama-sama berkongsi ilmu. Cuma bila ia sering diperkatakan saya tidak sedap hati. Its not nice,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Azharina juga bakal muncul menerusi sebuah single baru yang akan melalui proses rakaman tidak lama lagi.

Foto: Facebook Azharina Azhar

Published by
Rafiq Mazlan