Pelakon Nelydia Senrose mengakui akan mengenang momen indah saat menunaikan ibadah haji bersama suami, Mohd Hafez Halimi di Tanah Suci.
Nelydia berkongsi perasaan tersebut menerusi video pendek yang dimuat naik di Insta Stories, pada Sabtu.
“Akan merindui kehidupan di sini bumi barakah.”
“Akan rindu bersesak-sesak di masjid.”
Itu kapsyen ringkas yang ditulis adik kepada aktres, Uqasha Senrose ini.
Terdahulu pada awal Julai lalu, Nelydia bersama suami meluahkan rasa syukur apabila dipilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Menerusi Instagram, pelakon drama Khilaf Asmara itu menitipan harapan yang baik-baik seterusnya memohon doa agar mereka selamat pergi dan balik.
“Saya Nik Zaris Nelydia dan suami tersayang Mohd Hafez Halimi dengan rasa penuh kesyukuran, gembira dan tawadhu’ di atas kebesaran Sang Pencipta yang Maha pengasih dan mengasihani yang mengizinkan kami untuk menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan ibadah Haji.
“Ini adalah anugerah Allah yang maha agung buat kami berdua. Saya dengan penuh rasa kerdil dan rendah diri ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang mengenali.
“Segala salah dan silap, terkasar bahasa yang saya sedari mahupun yang tanpa sengaja terlepas pandang selama ini. Halalkan makan minum kami.
“Saya mohon agar dapat dititipkan doa buat saya dan suami agar selamat pergi dan balik. Dipermudahkan segala urusan dan dengan izin-Nya mendapat haji mabrur,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.