Pelakon senior, Didie Alias menempelak tindakan sesetengah individu dalam produksi yang didakwa memberi alasan ketiadaan bajet meski stesen televisyen sudah meluluskan barisan pelakon dalam sesebuah naskhah.
Perkara tersebut disuarakan bintang drama Kum Kum: The Series itu menerusi satu potongan video pendek dan ia dimuat naik menerusi Instagram, lewat hari ini.
Malah, bintang versatil itu turut mendedahkan perbualan WhatsApp, dipercayai terkait dengan hal yang diperkatakan.
“Aku nak beritahu petang-petang ni, nak kasi angin aku dah lama tak borak dekat aku punya IG dan Facebook ni. Aku rasa aku dah berlakon sudah lama. So kepada EP atau pun produser yang nak offer aku berlakon, pastikan korang ni ada bajet.
“Kalau tak ada bajet, tak payah hubungi aku. Kau ‘holdkan’ aku berapa hari… 10 hari, dua minggu, untuk aku tunggukan korang bercakap.
“Last-last kau mungkin tak dapat ambil job lain, tolak job lain, akhirnya esok lusa kau nak shooting, kau boleh buang aku macam tu. Alasan bajet tak ada,” luahnya.
Jelas Didie lagi atas apa yang berlaku, pihak terbabit didakwa menyalahkan stesen TV.
“So aku tanya mahal sangatkah aku minta untuk korang bayar kat aku? Jadi kau tak payahlah cadang dekat stesen (TV)?
“Lepas tu nama aku dah diluluskan. Hujung-hujung lepas tu deal bajet korang tak ada.
“Kau cerita apa ni, aku bukan minta satu episod RM5,000 ke, RM3,000 ke untuk satu jam punya slot. Lepas tu aku tanya kau senyap.
“Last-last kau salahkan stesen. Apa masalah korang? Stesen meluluskan artis. Kau faham?,” katanya lagi.
Serentak dengan perkongsian berkenaan, para peminat termasuk rakan selebriti turut meninggalkan komen pelbagai terhadap entri yang sudah pun mendapat hampir 2,000 tanda suka itu.
Foto: Instagram Didie Alias