Sejak akhir-akhir ini, platform media sosial sering kali disajikan dengan lambakan isu-isu kontroversi mahupun gimik-gimik murahan lebih-lebih lagi bila melibatkan individu berpengaruh serta selebriti tanah air.
Setiap kontroversi yang dicetuskan ini akan berubah menjadi isu yang lebih besar dan ia dilihat seperti tidak berkesudahan.
Menurut pandangan penyanyi, Shahir Zawawi, dia merasakan setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing dan sikap mengecam tanpa usul periksa ini harus dihentikan demi kemakmuran bersama.
“Saya rasa, apa sahaja bentuk gimik atau kontroversi yang dicetuskan oleh sesetengah pihak di platform media sosial ini, itu mungkin merupakan ujian buat mereka. Sebaiknya kita lihat perkara tersebut dari sudut yang positif.
“Kalau seseorang itu berperangai sedemikian, kita tak tahu apa sebenarnya yang mereka lalui. Kita yang melihat ni pun sebenarnya diuji juga. Adakah kita hanya ingin mengecam semata-mata atau kita nak bantu mereka untuk berubah?
“Saya mengesyorkan buat semua pihak di luar sana untuk sama-sama kita bantu mereka yang mungkin mempunyai masalah ini. Kalau kita nampak kelemahan mereka dalam membawa diri di platform media sosial ini, tugas kita pula sebagai sahabat atau sesama Islam untuk menasihati mereka,” katanya kepada MH.
Shahir ditemui usai majlis pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah.
Tambah penyanyi lagu, Aku Yang Berdosa ini lagi, daripada kita terus mengecam, ada baiknya kita sama-sama belajar dan mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku itu.
“Sebaiknya, janganlah kita memperbesar lagi isu ini dengan kata-kata kecaman dan tomahan. Tiada manusia yang dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kita maafkan sahaja dan perbetulkan kesilapan tersebut bersama-sama.
“Bila kita lihat kesalahan orang lain, sampai jadi tak sedar dengan kesilapan sendiri. Akhirnya nanti, mereka akan lebih selesa untuk kekal sebegitu,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Shahir turut merasakan media sosial ini bukanlah sebuah platform yang toksik seperti yang diperkatakan ramai pihak seandainya digunakan dengan cara yang betul.
“Pada pandangan saya, kita kena akur dengan peredaran masa itu sendiri. Kalau kata begitulah rentak media sosial pada ketika ini, kita tak boleh nak menghalang. Sekarang ini, orang berniaga pun, gunakan media sosial. Cara kita memanfaatkan platform itu sendiri yang harus diberikan penekanan.
“Sebagai contoh, kalau sebilah pisau itu dapat kepada orang yang betul, mereka akan gunakan sebaiknya. Tetapi kalau dapat kepada orang yang salah, mereka akan gunakan untuk tikam orang.
“Cara menggunakan media sosial itu sebenarnya yang harus dididik. Kita juga boleh menggunakan peluang yang ada untuk mendidik orang di luar sana mengenai cara menggunakan media sosial dengan betul,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, juara program Hijrahkan Laguku musim pertama ini juga bakal kembali menerusi program Hijrahkan Laguku Reunion Raya yang bakal ditayangkan pada bulan Syawal nanti.
Mengangkat tema Ramadan Diberkati, Syawal Dirai, stesen TV Alhijrah bakal menyajikan pelbagai program-program menarik berteraskan Islam kontemporari sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Program Assalamualaikum Sahur juga akan dipancarkan secara langsung pada setiap hari bermula 3 April ini pada jam 5 pagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.