Pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah akhirnya mendedahkan, dia dan suaminya sudah berpisah pada Oktober lalu.
Pelakon Istikharah Cinta itu turut menjelaskan, perpisahan yang berlaku tiada kena mengena dengan pihak ketiga.
“Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang. Tidak timbul isu orang ketiga, sebaliknya ia berpunca daripada kelemahan dan kekurangan diri masing-masing.
“Maaf, buat sementara waktu, saya belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar kami berpisah. Bukan ini jalan yang kami mahukan, tetapi kami tidak mampu melawan qada dan qadar.
“Kami tidak boleh memaksa hati untuk meneruskan perkahwinan, bimbang nanti akan memudaratkan diri. Selepas membuat solat istikharah, saya mendapat petunjuk dan ini jalan yang terbaik buat kami berdua,” katanya seperti yang dipetik Berita Harian Online.
terdahulu, Spekulasi keretakan rumah tangga pemilik nama lengkap Nonny Nadirah Zainuddin itu mulai diperkatakan apabila dia dan bekas suaminya, Mustain Adnan memadam semua gambar serta video mereka bersama di laman sosial, Instagram.
Malah, masing-masing juga sudah tidak saling mengikuti di Instagram.
“Siapa yang berkahwin untuk bercerai? Namun, saya tahu Allah sentiasa ada bersama dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kami berdua.
“Perpisahan ini juga membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Semua yang terjadi mengajar saya supaya lebih matang menangani setiap masalah dan berusaha membentuk diri ke arah yang lebih baik,” jelas wanita berusia 29 tahun ini lagi.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 18 Mac tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah.
Sumber: Berita Harian Online & Foto Instagram Nonny Nadirah