Akhirnya segala teka teki tentang status hubungan Elfira Loy dan Sufian Suhaimi sudah terjawab!
Terbaru MH telah diberitahu, ibu kepada Elfira Loy telah mengumumkan dan mengesahkan hubungan di antara anaknya bersama penyanyi Terakhir itu memang sudah putus tunang seperti yang di dakwa oleh sesetengah kenalan terdekatnya.
Sekali gus semua ini menjawab segala spekulasi yang timbul.
Melalui laporan Harian Metro, ibu kepada pelakon ini mengesahkan akan memulangkan semula cincin tunang mereka kepada keuarga Sufian pada waktu yang bersesuaian.
“Sepatutnya saya dan bekas suami (bapa Elfira) ingin berjumpa keluarga Sufian semalam yang kebetulan berada di Kuala Lumpur, tetapi mereka beritahu sudah ingin pulang ke Muar.
“Jadi, saya dan bekas suami tunggu waktu lapang mereka pula untuk berjumpa dan pulangkan cincin. Cuma, apa boleh jelaskan, Elfira dan Sufian sudah tidak ada apa-apa hubungan,” jelasnya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, ibu kepada Elfira yang dikenali dengan panggilan Filzah memberitahu anaknya itu menyerahkan segala keputusan kepada orang tuanya.
“Elfira tahu mengenai perkara ini dan menyerahkan segala keputusan kepada kami. Saya berharap buat masa sekarang beri ruang dan privasi kami sekeluarga,” jelasnya.
Bagaimanapun, ibu kepada pelakon ini terus berfikiran positif dan menganggap jodoh dan pertemuan itu ketentuan Allah dan semoga selepas ini Elfira ditemukan dengan lelaki yang lebih baik. Dalam pada itu, Filzah berkata apa yang berlaku ini biarlah menjadi rahsianya sekeluarga.
“Saya beranggapan ini adalah jodoh dan ketentuan Allah. Semoga selepas ini Elfira ditemukan dengan lelaki yang baik.
“Apa yang berlaku biarlah menjadi rahsia kami sekeluarga,” katanya.
SUMBER: Harian Metro