Penyanyi, Syura Badron berkongsi keadaan suaminya, Muhammad Farizat yang melecur teruk akibat letupan gas, Jumaat lalu.
Menurut Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 38, suaminya telah dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut kerana melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan.
“Assalammualaikum, dengan berat hati saya ingin maklumkan suami saya, Farizat telah dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk.
“Melecur di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak yang berlaku di tempat penginapan kami di Perlis pada hari jumaat malam yang lepas,” tulis Syura.
Penyanyi lagu Nazam Berkasih ini berkongsi berita tersebut menerusi Instagram miliknya.
Meski berdepan ujian berat, Syura bagaimanapun yakin Allah Maha Baik dan mendoakan agar ada sinar kebaikan di sebalik kesukaran ini.
“Mohon doa dari semua semoga diberikan kesembuhan buat suami dan diberikan kekuatan menghadapi ujian Allah ini.
“Semoga ada hikmah yang baik disebalik ujian ini. Allah Maha Baik,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, Syura turut memuat naik satu hantaran di Insta Stories yang memaparkan tangannya bersama suami, sebagai tanda kasih dan sokongan.
“Kuat sangat sayang saya ini. Saya yang tak kuat tengok keadaan awak.
“Ya Allah, berikanlah kesembuhan buat suamiku,” kongsinya lagi.
Untuk info, Syura menamatkan status ibu tunggal selama sembilan tahun, apabila melangsungkan pernikahan dengan Farizat Ismail, pada 22 Januari 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Umar Eussof pada Mac tahun lalu.
Syura juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Fadhly Md Yassin namun rumah tangga mereka berakhir dengan penceraian pada Ogos 2015.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdina, 17, Nurul Qaisara Sofia, 15, dan Muhammad Irfan Aryan, 13 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.