Akim, Hazama, Black & Tomok ; 4 Vokalis Lelaki Dalam 1 Lagu – “Benda Susah Jadi Menarik Sebab…”

Share

‘Empat penyanyi dengan empat karakter vokal yang berbeza bergabung, memang meletup!’ Itu yang dapat digambarkan menerusi kerjasama terbaharu dari empat penyanyi iaitu Akim Ahmad, Hazama, Black Hanifah dan Tomok.

Impian untuk menyaksikan gabungan mereka beraksi dalam persembahan konsert masih belum terlaksana ekoran penangguhan konsert 4G’s yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April lalu di Istana Budaya akibat penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, menerusi perkembangan terkini setakat ini, konsert tersebut dijadualkan akan berlangsung bulan depan pada 11 dan 12 Disember depan.

Mengikut perancangan, Akim, Hazama, Black dan Tomok bakal menyanyikan sebuah lagu baru yang dicipta khas untuk dipersembahkan pada konsert berkenaan.

Sudah pun dilancarkan, single berjudul “Suara Licik” hasil ciptaan Taja dan lirik oleh Ana Raffali itu disifatkan sebagai unik, bagi Akim.

“Rakaman lagu ini sangat unik. Melodi dan lirik lagu ini sangat bagus. Saya amat gembira dapat menyanyi dan merakam lagu ini bersama tiga rakan lain.

“Kebetulan ketika itu kami nak ada konsert, jadi perlukan satu lagu baru yang dinyanyikan bersama.

“Jadi karya ini sangat menarik untuk kami persembahkan kepada peminat.

“Diakui, merakamkan sebuah lagu bersama Hazama, Black dan Tomok memberi pengalaman luar biasa sebab masing-masing ada karakter dan keunikan suara tersendiri.

“Mereka semua penyanyi yang bagus. Sejujurnya, saya teruja bekerjasama dengan mereka dalam projek ini.

“Apabila bekerja dengan kawan-kawan, kita tak ‘stress’ kerana masing-masing berikan kerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Malah, kami cuba memberikan yang terbaik dalam sesi rakaman,” katanya yang turut berharap ia akan mendapat sambutan baik pendengar.

Pada masa sama, Black turut akui gembira dapat bekerjasama dengan Akim, Tomok dan Hazama.

“Perasaan sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan sahabat yang sama-sama suatu ketika dahulu membina nama dalam industri.

“Komitmen dan semangat yang diberikan mereka bertiga menunjukkan yang mereka juga berasa tidak sabar untuk lagu ini diputarkan. Malah, tidak sabar nak dipersembahkan secara langsung pada konsert.

“Alhamdulillah, kami sudah pun mendapat tarikh baru konsert yang tertunda ini. Insya Allah, kalau tiada aral melintang 11 dan 12 Disember akan berlangsung konsert 4G’s,” katanya lagi.

Manakala bagi Tomok pula, bekerjasama dalam lagu bersama tiga rakan penyanyi lain buat pertama kali menjadi sesuatu yang menarik dan istimewa.

“Alhamdulillah, lagu ini sangat istimewa sebab saya rasa ini pertama kali kami digabungkan bersama dalam satu lagu. Sebenarnya, bergandingan dengan semua sahabat saya ini satu perkara yang sangat menarik.

“Benda susah jadi menarik sebab kami tolong antara satu sama lain.

“Jadi, hasilnya menarik sebab semua kawan-kawan dalam ini. Sepatutnya, lagu kami dipersembahkan pada konsert tempoh hari, tapi disebabkan Covid-19 terbatal namun ia tak mematahkan semangat kami untuk teruskan konsert itu.

“Pada malam konsert itu nanti, kami akan persembahkan kepada semua. Saya sangat ‘looking forward’ pada lagu ini supaya ia diterima dan dekat di hati peminat. Saya harap lagu ini dapat sokongan semua,” katanya lagi.

Sementara itu, Hazama menyifatkan kerjasama dengan Akim, Tomok dan Black istimewa kerana mereka saling memberi tunjuk ajar.

“Pengalaman bersama mereka bukan sahaja dalam lagu ini malah semasa kami bersama-sama di dalam industri. Ketiga mereka ini banyak memberi tunjuk ajar serta boleh menerima pandangan antara pihak yang lain.

“Mereka tidak kedekut memberi ilmu serta memberikan komitmen yang sangat tinggi sewaktu merakamkan lagu ini. Kami juga bukan sahaja sahabat dalam indusri malah sangat rapat di luar pentas,” katanya.

Published by
MH