Penyanyi Akim Ahmad mendedahkan anak keduanya, Isa yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu lebih manja berbanding kakaknya yang mesra disapa Beyya dan Eshaal.
Akim, 31, berkata dia bagaimanapun rasa teruja kerana kini sudah ada pengalaman dalam menguruskan anak lelaki.
“Alhamdulillah, bayi makin sihat dan dia sudah mengambil vaksin pertama, baru-baru ini. Rasa seronok memandangkan sebelum ini kami sudah miliki dua cahaya mata perempuan.
“Jadi bila ada anak lelaki ni, rasa berbeza. Bagi saya, dia lebih manja. Misalnya kalau waktu hendak tidur,
mesti berdukung. Berbeza dengan kakaknya yang sebelum ini tidak perlukan buaian kalau mahu tidur.
“Kalau tidak, akan merengek. Nak kena dukung, tepuk-tepuk. Sepanjang tiga bulan lalu, memang saya banyak berjaga malamlah,” katanya kepada MH.
Akim berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Absolut Music Festival di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), pada Rabu.
Berkongsi mengenai nama ringkas anaknya itu, Akim menjelaskan dia dan isterinya, penyanyi Stacy sepakat mahu memberi nama yang mudah dan mempunyai maksud yang baik.
“Saya tidak mahu nanti pening untuk tulis nama anak panjang-panjang. Kami memang sepakat pilih nama Isa. Sebelum ini ada juga beberapa nama lain.
“Tapi kami putus untuk pilih nama yang unik dan saya pada saya, maksudnya juga baik. Mudah-mudahan anak kami membesar sebagai anak soleh,” kongsinya lagi.
Akim dan Stacy sah menjadi suami isteri pada Februari 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan diberi nama Eshaal yang kini berusia lima tahun.
Pasangan itu turut mempunyai seorang anak angkat yang disapa Beyya, yang kini sudah memasuki usia sembilan tahun.
Dalam pada itu, Akim antara barisan 18 artis yang akan menjayakan persembahan sempena Absolut Music Festival 2022 awal bulan depan di Bandar Malaysia, Sungai Besi.
Selain Akim, kumpulan rock legenda Search, vokalis Alleycats, Datuk David Arumugam, Faizal Tahir, Joe Flizzow, Andi Bernadee, Dolla serta ramai lagi akan melakukan persembahan sepanjang tiga hari penganjuran konsert percuma itu.
Bertemakan festival dengan konsep terbuka, acara yang mendapat tajaan dari syarikat vape, Elfbar diadakan bertujuan menyemarakkan lagi industri acara di negara ini.
Pada masa sama, festival sama turut membuka peluang rezeki kepada 110 peniaga kecil dan sederhana terdiri daripada industri makanan, minuman, pakaian dan kosmetik untuk menjual barangan mereka sepanjang acara.
Festival yang akan bermula dari 4 hingga 6 November ini juga turut mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Cuti-Cuti Malaysia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI