Pelakon Remy Ishak dan Ashraf Muslim antara penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada Ahad.
Remy atau nama sebenarnya Mohamad Zalimei Ishak menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk manakala Mohd Ashraf Muslim menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T).
Remy, petik Bernama berkata, dia tidak menyangka terpilih menerima anugerah pada hari ini yang disifatkannya sangat bermakna sepanjang karier bergelar anak seni sejak kira-kira 20 tahun lepas.
“Memang tak pernah bermimpikan pun sebenarnya (untuk menerima gelaran Datuk)… mencari gelaran itu tidak, tapi diberikan hadiah kepada saya.
“Ia memberi satu suntikan semangat kepada saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang sekali gus memberi galakan kepada anak-anak muda di negeri ini untuk mengejar cita-cita mereka,” katanya.
Sementara itu Ashraf berkata, menerima B.K.T merupakan satu ganjaran besar buat dirinya semenjak menceburkan diri dalam dunia seni kira-kira 20 tahun dahulu.
“Ia boleh juga menjadi pemangkin kepada artis-artis di luar sana untuk lebih aktif bagi mendapat pengiktirafan sebegini rupa,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Bernama