Neelofa hari ini mencipta kenangan dan kejayaan tersendiri apabila program santai kelolaannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, #berseoranganbersama menerima kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-8, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tetamu eksklusifnya.
Direncanakan bermula pada pukul 11 pagi, temu bual berkenaan diawalkan setengah jam atas faktor tertentu.
Bersiaran selama hampir 30 minit, rata-rata soalan yang diajukan Neelofa kepada Tun diambil daripada soalan-soalan yang dikemukan oleh peminatnya di laman Instagram.
Antara jawapan yang menarik perhatian sepanjang sesi tersebut ialah nasihat terbaik yang Tun Mahathir pernah terima dan sentiasa berbekas di hatinya.
Menurut beliau, nasihat arwah ibunya: “don’t overstay your welcome” merupakan salah satu sebab Tun Mahathir mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 pada Oktober 2003.
Antara perkara lain yang dibualkan mereka adalah nasihat Tun Mahathir kepada peniaga atau usahawan kecil dalam menghadapi cabaran COVID-19 selain apa yang Malaysia perlu lakukan dalam mengekang penularan wabak berkenaan.
Sementara itu, Tun Mahathir yang mesra dengan panggilan Che Det itu turut memberitahu mengapa beliau gemar membawa buku nota kecil bersamanya.
Hal ini kerana, menurut Tun Mahathir, kita mungkin boleh terlupa apa yang ada di fikiran. Tetapi, apabila kita menulis, kita akan sentiasa ingat tentang perkara-perkara tertentu.
Pada masa sama, Tun Mahathir turut memberikan nasihat supaya ramyat Malaysia sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.
“Kita negara yang sangat bertuah, kita kurang kena bencana alam sebab kita di kelilingi oleh Indonesia dan Filipina yang sentiasa menjadi benteng terhadap musibah.
Jadi, apabila kita diserang COVID-19, kita kena bersatu hati, jangan panik dan melihat semua dengan positif. Sentiasa mendengar arahan pihak berwajib, dan jaga disiplin,” nasihat beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai idea penghasilan program bual bicara mini di Instagram Live ini, Neelofa menjelaskan dirinya turut terpanggil untuk sama-sama membantu mengekang penularan COVID-19 di negara ini.
“Saya berasa terpanggil untuk membantu Malaysia dalam memerangi COVID-19. Selain bantuan kewangan, saya rasa kita juga perlukan suara yang sentiasa mengingatkan dan memberi info berguna kepada rakyat Malaysia, mengenai apa yang boleh kita lakukan secara bersama, dalam memastikan kita mampu mengatasi masalah ini secara total.
“Insya-Allah, jika berpeluang, saya akan perbanyakkan lagi sesi sebegini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Untuk rekod, sesi bual bicara antara Neelofa dan Tun Mahathir menerima jumlah tontonan seramai iaitu kira-kira 85,000 penonton.
Terdahulu, #BerseoranganBersama turut menampilkan selebriti gred A lainnya dari dalam dan luar negara seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dato’ Sri Rossa dan Nora Danish.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI