
Konsert solo penyanyi terkenal, Stacy, akhirnya diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media eksklusif yang berlangsung meriah di Sabah International Convention Centre (SICC), baru-baru ini.
Menerusi sidang media tersebut, Stacy turut mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik iaitu Pelangi Senja, Not For Sale, dan Jahat di kawasan luar SICC yang berlatarbelakangkan pemandangan laut serta matahari terbenam.
Menurut Stacy, konsert ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’ itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebagai simbol dedikasi dan kreativitinya dalam seni persembahan pentas.
Ia juga hadiah istimewa buat para peminat di negeri kelahirannya, Sabah.
“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga, khas untuk orang Sabah.
“Saya akan bawa penari dari Semenanjung dan gabungkan dengan penari tempatan. Nantikan gimik dan kejutannya kerana saya tak sabar nak gegarkan SICC!,” katanya.
Penglibatan Penuh Setiap Aspek
Konsert berkenaan akan berlangsung pada 21 Jun 2025, jam 8 malam di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile.
Berbeza daripada persembahannya sebelum ini, Stacy terlibat sepenuhnya dalam setiap aspek persembahan termasuk konsep, susunan muzik, koreografi dan pemilihan pasukan kreatif.
Ia menjadikan konsert ini antara yang paling autentik sepanjang kerjaya seninya.
“Konsert ini sangat istimewa bagi saya, saya mahu jadikannya sebuah pengalaman yang tidak terlupakan buat peminat saya di Sabah.
“Saya amat bersyukur kepada U Mobile kerana merealisasikannya, dengan sokongan mereka, saya dapat menghidupkan visi ini dalam skala yang besar.
“Komitmen mereka terhadap dunia hiburan memberikan saya peluang untuk mencipta sesuatu yang benar-benar luar biasa khas buat para peminat,” kongsi Stacy lagi.
Duet Bersama Akim
Selain penampilan solo, konsert ini turut menampilkan segmen duet istimewa bersama suaminya, penyanyi Akim Ahmad, yang pastinya menjadi salah satu momen paling dinanti peminat mereka.
Lebih menarik, konsert tersebut juga bakal membawa penonton mengimbas perjalanan karier Stacy sejak awal hingga kini, lengkap dengan susunan muzik baharu, koreografi yang segar serta visual pentas bertaraf antarabangsa.
“Setiap lagu ada ceritanya. Saya mahukan semua penonton pulang dengan rasa puas, terhibur dan terinspirasi,” tambahnya.
Tiket rasmi konsert telah mula dijual sejak 10 April lalu menerusi platform ticket2u.com.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI