Penyanyi dan pelakon, Mark Adam akui terkilan selepas projek rumah yang didirikan untuk ibu dan bapa mentuanya didakwa telah dibiarkan terbengkalai oleh pihak kontraktor.
Menurut Mark, meskipun sudah membuat pembayaran penuh, namun, proses asas iaitu struktur rumah tersebut dikatakan masih lagi belum siap sepenuhnya.
“Baru-baru ini, saya ada buat rumah untuk ibu dan ayah mentua saya tapi projek ini ada masalah dengan kontraktor. Mereka dah berjanji akan habiskan binaan tangga.
“Projek ini sudah bermula sejak tujuh bulan yang lalu tapi tapi tak habis-habis lagi. Susah la macam ni. Saya dah bayar penuh tapi mereka asyik minta-minta duit tambahan.
“Struktur rumah pun belum habis lagi tapi minta wang tambahan RM60,000 hingga RM80,000. Apa pun tak habis lagi ni. Kalau betul-betul nak wang tambahan, habiskan dahulu struktur rumah,” katanya.
Pendedahan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Pencuri itu menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman Instagram.
Jelas Mark lagi, dia juga agak kecewa apabila hasratnya untuk membawa ibu dan bapa mentuanya tinggal di rumah tersebut sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri mungkin tidak kesampaian.
“Lepas tu mereka angkut sekali barang-barang untuk projek rumah ini. Simen yang sepatutnya digunakan untuk rumah ini juga mereka ambil sekali. Siapa punya simen tu? Saya dah habis bayar.
“Bila kita bincang dengan kontraktor, apa yang mereka minta, kami bagi. Kami beri kerjasama sepenuhnya. Bayar semua seperti apa yang mereka mahu. Kemudian jadi macam ni.
“Macam mana sekarang ni? Hari raya dah dekat. Mak dan ayah mentua saya mahu tinggal di sini sebelum raya. Sayang betul. Pihak saya dah buat sehabis baik tapi ini yang saya terima,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Mark turut memaklumkan dia kini sedang menunggu tindakan susulan daripada pihak polis berhubung projek rumahnya itu.
“Tak mengapa. Saya pun dah buat laporan kepada pihak polis. Kita tengok macam mana keadaannya nanti. InsyaAllah .
“Sekarang ini pun saya dah tukar kunci rumah ini. Mereka kunci rumah ini untuk tidak bagi saya masuk. Jadi, saya tukar mangga. Bayangkanlah tuan rumah tak boleh masuk. Bila saya minta kunci, mereka tak bagi.
“Saya ada hak nak masuk rumah ini untuk lihat sendiri progressnya. Tak mengapalah, kita tengok apa tindakan mereka nanti,” kongsinya lagi.
Sementara itu, isteri Mark, Norazah Redzuan akui berang dengan tindakan pihak kontraktor dan bersedia untuk bersemuka bagi menyelesaikan masalah ini.
“Tak mengapa kau boleh lari. Lari jauh-jauh. Demi Allah, mak bapak aku, aku tak akan halalkan satu sen pun duit aku yang kau makan.
“Makan duit yang haram, ibarat kau makan daging babi. Jadi kau bagilah anak bini kau makan daging babi. Semua hitam putih aku ada. Kau je yang takut nak jumpa,” konsinya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Sebelum ini, masalah sama turut dilalui oleh pelakon dan pengacara, Amyra Rosli apabila rumah yang dibina untuk ibu bapanya telah terbengkalai kerana ditipu oleh pihak hiasan dalaman.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Mark Adam & Norazah Redzuan