Tidak banyak artis berkumpulan mampu bertahan lama atas pelbagai alasan yang mungkin membawa kepada sesebuah perpisahan.
Namun, hal itu tidak pernah berlaku kepada kumpulan nasyid wanita, Al-Jawaher yang sehingga ke hari ini masih bertahan dengan tujuh ahli kumpulannya sejak ia mula ditubuhkan 44 tahun lalu.
Al-Jawaher yang berasal dari Singapura itu dianggotai Norhaiyati Yusof selaku ketua kumpulan, Habibah Othman, Siti Rosminah Jaafar, Jumuyah Kasbari, Latifah Johari serta dua orang adik kepada komposer terkenal Datuk M.Nasir iaitu Siti Hajar Mohamed dan Normala Mohamad.
Menurut Norhaiyati, rahsia kepada keutuhan hubungan mereka ialah komunikasi berterusan yang diamalkan mereka sejak dari dahulu lagi memandangkan kumpulan itu tidak melantik mana-mana pengurus untuk mengatur kerjaya seni mereka.
“Rahsia kami masih kekal sampai sekarang adalah komunikasi. Saya sebagai ketua kumpulan sangat bertegas dengan semua ahli.
“Saya rasa kalau saya tak bertegas, mungkin usia Al-Jawaher tak sampai sekarang.
“Dengan bantuan teknologi seperti WhatsApp pun buatkan hubungan kami makin akrab dari tahun ke tahun. Kami ada WhatsApp Group dan sering berborak dan bertukar pandangan,” katanya.
Sempena kedatangan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi serta sebagai tanda mereka masih lagi aktif dalam bidang seni, Al-Jawaher tampil dengan single terbaharu iaitu lagu Inggeris berjudul Bring Me Close To You.
Mengambil inspirasi daripada Maher Zain, Al-Jawaher cuba untuk meneroka pasaran global dengan mengentengahkan lagu Inggeris agar semua dapat menikmati lagu dakwah itu secara menyeluruh.
“Kami tidak ambil masa lama untuk siapkan lagu ini, kira-kira dua bulan sahaja.
“Pada awalnya, kami dapatkan lagu, kemudian berlatih bersama-sama. Jadi proses rakaman sangat lancar dan kami berpuas hati dengan hasilnya.
“Ia adalah inspirasi daripada penyanyi Maher Zain. Kalau lihat, dia pernah menyanyi dalam bahasa Melayu walaupun tidak begitu lancar, tapi penerimaannya di Malaysia sangat baik.
“Lagu ini juga ada dalam versi bahasa Melayu dan judulnya adalah Bawa Daku Mendekati Mu. Versi ini adalah untuk kami pasarkan ke saluran yang tidak memainkan lagu bahasa Inggeris,” kata Norhaiyati lagi.
Terdahulu, Al-Jawaher pernah merakamkan enam album iaitu Permata pada 1980, Perjalanan (1981), Warna Alam (1982), Berita Gembira (1984), Alam Insan (1989) dan Lambaian Raudah (2019).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI