Pelakon yang popular melalui siri drama Boy Meets World, Trina McGee berkongsi kisah tragis mengenai pengalaman dirinya mengalami keguguran anak keempat pada usia 54 tahun.
Perkara itu dikongsikan olehnya ketika ditemu bual dalam program bual bicara The Tamron Hall Show yang disiarkan pada 23 September lalu.
“Saya memang kehilangan bayi itu. Ia tidak dijangka, kerana ia berlaku ketika kandungan sudah di penghujung trimester pertama. Kami tidak mempunyai sebarang sebab yang jelas mengapa ia terjadi,” kongsinya.
Selepas keguguran, Tina yang sudah memiliki tiga cahaya mata dari perkahwinannya yang terdahulu menyatakan bahawa keguguran menyebabkan dia mengalami episod kemurungan dan adakalanya sukar hanya untuk bangun dari katil.
Walaupun begitu dia masih bersyukur kerana mampu merasai pengalaman mengandung pada lewat usia.
“Ada begitu banyak perkara yang timbul apabila anda benar-benar ingin membina sebuah keluarga lengkap, terdapat begitu banyak impian yang anda bayangkan. Adalah sangat sukar untuk menerima kenyataan bahawa itu tidak akan berlaku pada ketika ini,” ujarnya.
Jika kandungannya selamat, bayi yang dilahirkan merupakan cahaya mata pertamanya bersama Marchell Thedford yang sudah dikahwininya selama 16 tahun.
Ditanya sama ada dia masih punya harapan untuk mengandung, Tina berkongsi yang dia tidak pasti sama ada mahu melalui pengalaman itu lagi.
“Sebahagian daripada saya tidak mahu melalui ini lagi. Kesimpulan yang saya buat ialah, kami akan terus menyayangi antara satu sama lain,
“Jika sesuatu berlaku seperti itu, baiklah, tetapi saya tidak mahu meletakkan rasa risau pada diri saya sendiri. Kadang-kadang lebih baik melepaskan dan merelakan,” kongsinya pasrah.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI