Penyanyi Keena Mentor mendedahkan keadaan kesihatannya kini bertambah baik selepas mengikuti beberapa sesi perubatan Islam sejak hampir setahun lalu.
Keena, 38, yang kini lebih cenderung menyanyikan lagu-lagu berentak klasik berkata, dia sebelum ini mengalami beberapa insiden pelik seperti muntah darah.
“Saya sihat alhamdulillah, cuma sekarang saya tengah berubat selepas berdepan ujian penyakit misteri. Contohnya muntah darah masih lagi saya alami.
“Bila saya lebih fokus kepada genre muzik klasik sekarang ini pun saya kena. Kalau popular pun kena, begitu juga sebaliknya. Jadi ketika ini sedang berubat cara Islam.
“Malah mata saya juga sekarang jadi kurang nampak sebab mungkin ‘digasak’ dengan benda berkaitan dengan sihir, santau. Sebab itulah saya kerap pakai kaca mata.
“Bagi saya bila terlibat dalam dunia seni, pasti ada yang pernah terkena. Cuma ada di antara mereka yang memilih untuk tidak berkongsi mengenai perkara itu.
“Macam saya sekarang, bergantung kepada proses perubatan dengan Ustaz dan alhamdulillah serangan muntah darah itu kini makin berkurangan.
“Saya alami insiden muntah darah sejak saya mula aktif menyanyi irama klasik hampir setahun lalu. Sebelum ini ada beberapa Ustaz yang saya rujuk dan sekarang saya ada berjumpa dengan seorang Ustaz di Puncak Alam, Selangor,” katanya.
Penyanyi yang bakal muncul dengan single baharu berjudul Terpikat berkongsi perkara demikian ketika di temui pada majlis Pra Pelancaran Festival Kampung Tradisi di SUK Selangor, Shah Alam, pada Isnin.
Ditanya sejauh mana teruk situasi yang dialami, Ikon Pasar Saloma ini mengakui dia ada berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti punca sebenar.
“Sampai tahap saya pernah terdetik untuk lakukan pembedahan. Di bahagian atas belakang kanan saya ada biji kelenjar yang belum boleh dipastikan oleh doktor.
“Bagaimanapun saya tangguh dulu prosedur seterusnya (pembedahan) sebab nak ikhtiar dengan rawatan tradisional. Kita tengoklah nanti macam mana. Kalau tidak, kita teruskan dengan prosedur cara moden.
“Bila saya pergi berubat dua tiga kali, ia hilang. Ustaz nasihatkan saya untuk pasang surah Ruqyah dan ayat-ayat suci al-Quran. Jaga solat, amalkan zikir, ‘pagar’ rumah dan diri-sendiri serta macam-macam lagi.
“Bila lakukan ujian imbasan sebelum ini, ada sekitar enam ke tujuh biji ketulan kelenjar. Saya bukan nak kata percaya kepada perkara seperti ini, tapi kita cuba usaha dan ikhtiar. Bila kita bercerita ada yang percaya dan tidak,” katanya lagi.
Reda dengan apa yang berlaku, Keena bagaimanapun menyifatkan apa yang berlaku sebagai ujian berat baginya untuk tahun ini.
Malah dia tidak mahu tuding jari kepada mana-mana pihak yang sanggup melakukan perkara khurafat sedemikian.
“Bagi saya, rezeki Allah yang bagi. Kalau kita senang bekerja dengan orang, insya-Allah semuanya akan dipermudahkan. Kita pun janganlah berlagak dan bagi semua senang dengan kita.
“Kerana masalah kesihatan tersebut juga, saya sekarang berhenti sekejap berlakon. Saya tak larat nak hadapi. Kalau tidak saya, suami pula yang muntah darah. Kasihan padanya.
“Malah minggu ini, ketika mandi selepas balik berubat, ulat sampah pula yang keluar. Ini dah macam tahap teruk, kalau tidak berubat badan nampak lebam.
“Macam tahun lalu ketika nak menyanyi, pasir sungai yang keluar. Kita pun pelik sebab macam mana benda ni berlaku. Saya tak percaya dengan sihir atau santau. Lepas berubat sudah okay, alhamdulillah.
“Yang penting sekarang saya memang amalkan ayat Nabi Sulaiman setiap kali nak keluar rumah sebelum keluar bekerja. Saya sedih bila situasi berlaku sebab sukar nak bekerja, cari rezeki. Jadi kita berhati-hatilah,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
@mediahiburanofficial Mengasyikkan betul… Penampilan Keena Mentor & Wan Jibam yang sampaikan lagu klasik malar segar di Majlis Pelancaran Festival Kampung Tradisi, pada Isnin #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan