Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga selepas namanya terpilih sebagai salah seorang jemaah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Menurut Faizal, dia telah menantikan saat ini sejak 15 yang lalu.
“Alhamdulillah, dengan izinnya. Setelah mendaftar sejak 2009. Mohon doa daripada semua. Syukur,” tulisnya.
Khabar gembira itu dikongsikan oleh penyampai radio Zayyan itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak Tabung Haji.
Dihafamkan Faizal akan berangkat ke Tanah Suci, Mekah bersama isteri dan anak sulungnya.
Sementara itu, Faizal juga memaklumkan dia dan keluarga baru sahaja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai salah satu prosedur persediaan sebelum menunaikan ibadah haji.
“Pemeriksaan kesihatan untuk haji. Semoga Allah memudahkan semua urusan bakal jemaah.
“Doakan untuk kami bertiga iaitu saya, isteri dan anak sulung,” kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut tumpang gembira selain turut mendoakan semoga Faizal sekeluarga memperoleh haji yang mabrur.
“Tahniah haji dan hajjah. Seronoknya. MasyaAllah, semoga dipermudahkan urusan Abang Faizal.
“Alhamdulullah syukur, rezeki itu. Semoga dimudahkan urusan dan mabrur. Doakan kami pula ya.
“Alhamdulillah tahniah dan syukur dipilih menjadi tetamu Allah. Semoga dipermudahkan segala urusan.
“Tahniah dipilih menjadi tetamu Allah,” antara komen-komen netizen.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini sebanyak 31,600 orang jemaah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.