“Alhamdulillah… Setiap Yang Baik, Kebaikan Juga Balasannya,” – Menitis Air Mata Wan Maimunah, Syukur Terima Bantuan Makanan

Share

Sepotong video yang merakamkan figura pelakon senior, Wan Maimunah menitiskan air mata saat menerima kunjungan Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa ustaz muda, beberapa hari lalu di kediaman anak angkatnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor nyata menyentuh hati ramai.

Bintang televisyen yang kini mencecah usia 67 tahun itu dilihat tidak mampu menahan sebak saat diziarahi.

Memetik Berita Harian, Wan Maimunah menerima bantuan makanan untuk kegunaan harian pada saat seluruh warga di negara ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

Video perkongsian hati Wan Maimunah itu turut dimaklumkan daripada perkongsian Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin di platform Instagram.

“Saya dihubungi Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin beritahu ada ustaz nak datang.

“Alhamdulillah, terima kasih, rumah ibu jauh, tetapi ustaz tetap sudi datang. Setiap yang baik, Allah membalas dengan kebaikan juga hendaknya,” katanya seperti yang petik.

Sementara itu, Ustaz Sheikh Muhammad turut berharap sumbangannya kepada golongan selebriti tidak diperbesarkan.

Ini kerana dia hanya menjalankan tanggungjawab kecil kepada sebahagian masyarakat yang memerlukan.

“Insan seni seperti ibu (Wan Maimunah) amat dihormati dalam kalangan masyarakat kerana sumbangannya dalam bidang seni. Lakonannya menyampaikan kisah dan teladan kepada manusia lain, besar pengaruhnya.

“Bagi saya, dengan bertanya khabar dan membantu serba sedikit dapat meringankan beban emosi insan seni seperti ibu,” katanya kepada Berita Harian.

Pada masa sama, ustaz tersebut difahamkan turut menyumbang kepada golongan ibu tunggal, anak yatim dan petugas keselamatan dalam tempoh PKP.

Ustaz Sheikh Mohammad bekerjasama dengan WHAM dan rakan artis seperti Zul Yahya dan Azza Elite yang mengenal pasti nama-nama pelakon veteran yang memerlukan bantuan.

Selain Wan Maimunah, Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa sahabat ada mengunjungi Datuk Wazata Zain, Hail Amir, Norlia Ghani, Shima, Sophia Ibrahim, Mak Jah, S Rohani, Mimi Loma, S Mariam, Aripah Damanhuri dan ramai lagi.

Tidak terkecuali, sumbangan yang mula diedarkan sejak awal April ini disampaikan kepada penggiat teater dan kru balik tabir.

“Insya-Allah, bantuan akan diteruskan pada masa hadapan. Semoga usaha kecil ini tidak terhenti di sini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) turut menghulurkan sumbangan.

Sumber/Foto: Berita Harian, Instagram Tengku Khalidah

Published by
MH