Tahniah buat pelakon versatil Izreen Azminda yang sudah pun mengumumkan dirinya kini sedang hamil tiga bulan. Izreen dijangka bakal melahirkan anak keduanya Julai depan.
Katanya ketika dihubungi MH, dia bersyukur dan gembira dengan perkhabaran tersebut sambil mengakui suaminya, Muhammad Radzi Wahid atau lebih sinonim dengan panggilan Ude merupakan insan paling teruja.
“Alhamdulillah syukur dengan zuriat rezeki yang dikurniakanNya. Doakan semuanya dipermudahkan dan suami menjadi insan yang paling gembira. Syukur dengan nikmat yang diberikan Allah SWT,” katanya.
Ditanya mengenai keadaannya kini, Izreen memberitahu pada peringkat awal kehamilan dia mengalami alahan yang agak teruk dan tidak digalakkan untuk melakukan kerja-kerja berat.
“Kehamilan kedua ini tak seperti yang pertama. Berlaku alahan yang agak teruk dan mudah berlaku pendarahan. Bagaimanpun, situasinya kian baik dari minggu ke minggu,” kongsi Izreen.
Terdahulu, Izreen mulai merasakan simpton dirinya hamil sejak Oktober lalu apabila lambat datang bulan.
“Saya sudah boleh rasakan simpton seperti hamil tetapi saya perlu tunggu pada kitaran haid dan dua bulan lalu saya ada lakukan ujian kehamilan sendiri sebelum doktor mengesahkan diri ini sudah hamil,” terangnya.
Pada masa sama, bekas perserta Dewi Remaja ini juga terpaksa menolak tawaran beberapa drama kerana tidak mahu menyusahkan produksi.
Perkara itu sekali gus menafikan laporan media sebelum ini yang mendakwa dirinya tidak mendapat sebarang tawaran berlakon sejak berkahwin lebih setahun lalu.
“Sejak dua tiga bulan lalu saya ada terima banyak tawaran berlakon drama, khasnya drama espisod.
“Cuma, saya terpaksa tolak cara baik selepas tahu saya hamil. Jadi status kesihatan pada ketika itu pun tidak menentu, tak mahu susahkan pihak produksi andai saya terimanya,” jelas Izreen yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penerbit dan stesen TV yang masih percayakan bakatnya.
Ditanya mengenai jantina anak, Izreen menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT cuma mengharapkan agar dikurniakan anak perempuan.
“Kami tak kisah mengenai jantina asalkan bayi yang bakal lahir sempurna dan sihat ia sudah memadai. Tapibesar harapan saya untuk timang cahaya mata perempuan pula, InsyaAllah,” katanya.
Izreen dan Ude berkahwin pada 8 Ogos 2017 dan menerusi perkahwinan terdahulu, Izreen dikurniakan anak lelaki iaitu Adrian Umar, 6 tahun.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI