“Alhamdulillah Syukur Pada Allah, Kes Saman Hakim Putuskan Kemenangan Kepadaku,” – Balu Arwah Abam, Nor Hidayah

Share

Balu kepada Allahyarham pelawak, Abam Bocey iaitu Nor Hidayah Mohd Ali meminta doa yang baik-baik buatnya dan anak sejurus prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hidayah pada masa sama turut meluahkan rasa leganya.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak saya. Saya dah rasa lega dah,” kata wanita berusia 33 tahun ini ketika diminta mengulas mengenai kemenangannya berhubung kes saman fitnah terhadap adik iparnya, Syed Ali Puteh yang difailkan dua tahun lepas.

Memetik Gempak, peguam yang mewakili Nor Hidayah, Mohamed Ibrahim Mohamad berkata, kemenangan itu sekali gus telah membersihkan nama serta reputasi keluarga Hidayah.

“Alhamdulillah mahkamah hari ini memberikan keputusan yang mana ia berpihak kepada anak guam kami.

“Tuntutan keluarga arwah Abam dan Ali terhadap anak guam saya, Nor Hidayah telah ditolak dengan kos.

“Manakala, tuntutan kami terhadap Ali telah dibenarkan dengan kos juga, ganti rugi RM60,000 telah dipersetujui oleh mahkamah untuk dibayar kepada Hidayah.

“Kami percaya keputusan ini telah membersihkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami dan berharap selepas ini tiada lagi.

“Sebelum ini ada kenyataan dibuat seolah-olah ada pihak dianiaya oleh anak guam kami tapi hari ini mahkamah telah menjelaskan bahawa tiada berlaku sebarang penganiayaan, sebaliknya yang dianiaya adalah anak guam kami,” katanya.

Kontroversi mula tercetus apabila Nor Hidayah memfailkan saman terhadapnya sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.

Saman yang dibuat Nor Hidayah itu antaranya mendakwa Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim.

Antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.

Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Nor Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun.

Sementara itu, Hidayah menerusi Instagram arwah suami turut berkongsikan perasaan berhubung hal berkaitan.

“Alhamdulillah syukur pada Allah, kes saman hakim putuskan kemenangan kepadaku. Syukur pada Allah.

“Terima kasih kepada peguam kami, mak, abah, anakku hamzah, adik-beradik famili & rakyat Malaysia yang mendoakan kami sekeluarga. Amin,” tulisnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber: Gempak

Published by
MH