Baru sehari ditayangkan di pawagam, filem seram komedi terbaharu Don Dukun mencipta sensasi apabila berjaya meraih jumlah kutipan RM1 juta.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi laman Instagram milik syarikat penerbit, Astro Shaw pada Jumaat.
“Alhamdulillah! Baru sahaja ditayangkan Filem Don Dukun berjaya meraih kutipan RM 1 juta. Kami dukun-dukun semua nak ucapkan terima kasih atas sokongan korang yang padu!
“Perlukan bantuan Don Arif? Jom jumpa di pawagam sekarang,” tulis mengendali akaun tersebut.
Pada masa sama, tunjang utama filem Don Dukun, Zul Ariffin turut memanjatkan rasa syukur di atas pencepaian tersebut.
“Alhamdulillah, let’s go,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, filem terbitan Astro Show dan Infinitus ini telah pun mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Oktober lalu.
Don Dukun merupakan karya arahan Wan Hafiz dan dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Datuk Yusof Haslam, Douglas Lim dan Sangeeta Krishnasamy.
Filem ini mengisahkan tentang Don Arif (Zul Ariffin) seorang ‘dukun Instafamous’ yang bercita-cita menjadi sehebat keturunannya.
Dia sanggup melakukan apa sahaja cara termasuk gimik dan tipu daya untuk memikat pengikutnya di media sosial.
Keadaan berubah apabila seorang janda kaya muncul dengan tawaran lumayan untuk memulihkan anak tirinya yang diselubungi gangguan kuasa gelap.
Don Arif mendapati dirinya terjebak dalam persaingan sengit dengan bomoh-bomoh lain yang juga memburu habuan tersebut.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.