Enggan memanjangkan lagi isu panas berkait harta peninggalan arwah Abam, Ali Puteh menerusi satu sidang media yang diadakan di The Port, Bandar Utama menjelaskan dia dan keluarga akan bertemu balu arwah, Siti Nurhidayah Mohd Ali dan keluarganya bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.
Mengambil tanggungjawab menguruskan harta peninggalan arwah untuk dibahagikan secara adil kepada waris, namun dia tidak menyangka akan menerima tohmahan dan kata-kata berbaur fitnah netizen.
Malah menerusi sidang media itu, Ali turut mendedahkan bapa kandungnya masih hidup dan ini secara tidak langsung akan menambah bilangan waris yang akan menerima faraid.
“Buat pengetahuan semua, bapa kandung kami masih hidup. Yang meninggal dunia dahulu ialah bapa tiri kami.
“Jadi pembahagian faraid perlu mengambil kira bahagian bapa kandung,” jelasnya.
Kecewa dengan segala yang berlaku, Ali turut mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripda dunia seni andai dirinya tidak lagi diperlukan.
“Saya percaya rezeki Allah, Allah beri saya ujian. Allah ambil anak dan abang saya. Allah uji saya dengan dugaan begini.
“Saya rasa untuk menjernihkan keadaan, lebih baik saya undurkan diri. Saya risau jika masih berada dalam industri orang akan menghina dan caci maki. Cukuplah kami berkarya di atas pentas komedi dengan cacian yang kami dapat.
“Apabila arwah tiada, saya hilang tempat bergantung. Saya mulakan dengan arwah daripada kami susah sehingga berjaya.
“Rupanya di akhir, dia tinggalkan saya seorangan. Tapi saya percaya rezeki Allah, saya tidak perlu (sebak).
“Abang saya segala-galanya, dia tempat saya mengadu. Daripada tawaran pertama, bayaran kami hanya RM300 dan dibahagikan dua sehingga kami boleh mencapai matlamat masing-masing.
“Hanya abang yang tahu siapa adiknya. Selepas ini di mana bahu untuk saya jatuhkan apabila saya jatuh sebegini.
“Saya reda dan tidak menyimpam dendam dalam hati. Saya hanya menjalankan amanat arwah dengan sebaik mungkin.
“Jika saya tidak perlukan dan hanya tohmahan yang saya dapat, saya sedia mengundurkan diri,” katanya tidak dapat menahan sebak.
Ali bagaimanapun tidak berhasrat memanjangkan lagi isu dakwaan perebutan harta peninggalan arwah Abam dan bakal mengadakan perjumpaan tertutup dengan balu arwah dan keluarganya.
Jelas Ali lagi, kereta MyVi akan diserahkan sepenuhnya kepada Nurhidayah selepas proses tukar milik selesai.
Malah wang sumbangan turut akan diserahkan sendiri pada perjumpaan itu nanti.
Terdahulu Ali Puteh menyelar tindakan Datuk Seri Aliff Syukri apabila jutawan itu menyiarkan kunjungannya ke rumah balu arwah, Siti Nurhidayah Mohd Ali di laman sosial.
Malah menerusi temubual dengan Hidayah terdapat beberapa persoalan dan isu yang didakwa sebagai fitnah oleh Ali.
Ikuti sidang media penuh bersamanya di sini;