Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri menyerahkan kepada pihak peguam bagi mengendalikan isu hangat membabitkan sedutan muzik video lagu rayanya Cak Kun Cak Raya yang disifat keterlaluan.
Aliff berkata demikian sambil memohon maaf kepada pihak media kerana tidak sempat untuk menjawab panggilan kerana baru sahaja menimang cahaya mata ke enam, pada Isnin.
“Untuk isu berkaitan, saya rasa lebih baik untuk saya serahkan kepada pihak peguam untuk buat tindakan sewajarnya,” katanya ringkas.
@mediahiburanofficial Amboi! Lagu Raya Nombor 1 Negara katanya… #MediaHiburan #MHnews #fyp ♬ original sound – Media Hiburan
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama) menerusi wakil yang juga Presidennya, Ayob Abdul Majid juga mahu berjumpa dengan Menteri Komunikasi Digital (KKD), Fahmi Fadzil bagi membincangkan isu muzik video berkenaan.
Menurut Ayob, ia berikutan muzik video tersebut yang dikatakan melanggar budaya dan tatasusila masyarakat Malaysia serta menghina kemuliaan bulan Ramadan.
“Saya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan pegawai yang bertugas mencadangkan agar saya membawa kes itu kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana akta yang ada sekarang terlalu longgar.
“Jadi dalam pertemuan dengan Fahmi nanti kami akan menggesa beliau agar membawa isu ini ke parlimen agar akta Seksyen 294 (a) dan 294 (b) digubal semula.
“Kita juga berharap KKD dapat membincangkan isu ini di parlimen seterusnya denda tinggi dikenakan termasuk hukuman penjara bukan sahaja kepada Aliff tetapi juga kepada pencipta kandungan lain yang melakukan perkara sama,” katanya seperti yang dipetik.
Tambahnya lagi, perkara ini berulang kerana hukuman dan denda yang dikenakan terhadap pelaku agak ringan.
“Kebanyakan hari ini mereka tidak takut dengan denda yang ada. Jika tidak dibendung, lebih banyak video yang bukan-bukan akan dihasilkan.
“Jika dilihat, penampilan ahli perniagaan itu bersama lima penari dalam muzik video terbabit memang keterlaluan.
“Kami bukan menyentuh peribadi Aliff atau lagu ini kerana ia sebuah lagu yang bagus, tapi muzik videonya itu memang tidak sesuai untuk tontonan semua terutama generasi muda,” katanya.
Irama pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memberikan promosi percuma kepada usahawan itu.
“Tapi kami didesak oleh orang ramai serta ahli-ahli sendiri yang tidak mahu perkara ini berleluasa. Gelagat Aliff dan lima penari yang berpakaian baju Melayu ketat terkinja-kinja juga dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum selain merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.
“Kami mahu KKD bertindak terhadap usahawan kontroversi itu selain menyekat lagu dan video terbabit daripada disiarkan.
“Tindakan Aliff Syukri menyalahi undang-undang. Muzik video ini bukan saja pakaiannya menghina baju Melayu, malah ia juga tidak sesuai dipertontonkan terutama dalam bulan yang mulia ini,” katanya lagi.
Sementara itu pada tahun lalu, Aliff turut menimbulkan isu sama apabila muzik video berjudul Kelepok Raya mengundang kontroversi sehingga mendapat kecaman ramai.
Disebabkan itu, Aliff dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung klip muzik video terbabit, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI