Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T kerana memberikannya kesempatan untuk sekali lagi merasai nikmat dikurniakan cahaya mata.
Jelas Siti, dia juga berasa lega kerana segala urusannya saat melahirkan telah pun dipermudahkan.
Malah, bintang berusia 42 tahun ini turut mendedahkan dia dan anaknya kini berada dalam keadaan yang baik.
View this post on Instagram
“Alhamdulillah…Allah melapangkan satu lagi nikmat dan peluang untuk saya merasai kehamilan, melahirkan dan kini ‘anakanda’ saya sudah lahir ke dunia.
“Alhamdulillah..proses melahirkan semalam baik dan lancar, saya dan bayi juga dalam keadaan baik,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh penyanyi lagu Anta Permana itu menerusi entri terkini di laman Instagram.
Dikesempatan itu juga, Siti turut menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesejahteraannya selama ini.
Katanya lagi, dia juga akan berehat buat sementara waktu bagi menjalani proses berpantang seperti biasa selain mahu memberi fokus yang lebih terhadap kesihatan bayinya itu.
“Terima kasih di atas doa semua pihak selama ini, saya yakin apa jua yang saya lalui ini adalah berkat daripada banyaknya doa kalian. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih.
“Saya akan menjalani rutin berpantang seperti biasa, fokus kepada bayi dan mahu memastikan keadaan kami berdua akan terus sihat, dipermudahkan semuanya.
“Terima kasih sekali lagi di atas setiap doa yang telah dipanjatkan buat saya dan juga ucapan tahniah di atas kelahiran anak kedua saya,” katanya lagi.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut berkongsi rasa gembira selain turut mendoakan semoga Siti serta anaknya akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Terdahulu, Siti dilaporkan telah selamat melahirkan cahaya mata keduanya itu pada 19 April di sebuah pusat perubatan di Selangor.
Untuk rekod, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah pun melangsungkan perkahwinan mereka pada tanggal 21 Ogos 2006.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini telah pun dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah yang kini mencecah usia tiga tahun.
Sumber: Instagram CTDK
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI