Penyanyi Fuad Rahman mengakui masalah kesihatan yang dialaminya sejak tiga minggu lalu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kualiti persembahannya di Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9)
Akur tersingkir di konsert separuh akhir, Fuad yang juga bintang asal Singapura memaklumkan dia berusaha segala termampu bagi melawan sakit yang dialaminya itu.
“Saya mulai rasa diri saya bakal tersingkir sejak saya mengalami sedikit masalah kesihatan sejak tiga minggu lalu. Saya tahu ia bukan satu alasan untuk tidak beraksi dengan baik.
“Bagaimanapun, saya sudah cuba segala yang termampu. Ini adalah program pertandingan nyanyian. Saya harus menghormati pihak produksi, para peserta dan peminat. Sebab itulah saya masih teruskan sehingga sekarang.
“Ketika buat pemeriksaan, doktor memberitahu ia merupakan demam bermusim tetapi tekak saya sangat sakit. Khamis lalu, saya telah dapatkan suntikan untuk melegakan sakit saya ini,” katanya kepada MH.
Ditanya sama ada dia ralat kerana diuji dengan masalah kesihatan ketika sedang rancak bersaing di GV9, Fuad memberitahu, dia percaya Allah miliki perancangan yang lebih baik.
“Saya tidak kecewa kerana sakit ini datang datang daripada Allah SWT. Mungkin Dia nak hapuskan dosa-dosa kecil saya. Apapun, saya tetap bersyukur dengan segala yang berlaku.
“Mungkin pada masa hadapan ada rezeki yang lebih baik buat saya. Setiap apa yang Allah berikan, tak semestinya perkara yang kita suka itu kita akan dapat. Kadang-kadang, kita dapat perkara yang kita tak suka. Saya reda dan tidak menyalahkan keadaan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, penyanyi lagu Bila Rindu ini turut memaklumkan dia merancang untuk menetap di Kuala Lumpur bagi memberikan sepenuh tumpuan selain mengatur semula kerjaya nyanyian.
“Alhamdulillah, ketika ini saya sudah menerima pelbagai tawaran nyanyian di Malaysia. Jadi, saya perlu berikan perhatian terhadap kerjaya nyanyian saya di sini.
“Kalau saya pulang ke Singapura, agak susah juga nak berulang alik. Rasanya, lebih baik saya fokus di sini. Saya pun baru sahaja punyai tempat tinggal di sini.
“Isteri saya pula akan ikut saya tinggal di Kuala Lumpur tetapi buat masa ini, saya seorang diri dulu,” akhirinya.
Artikel Berkaitan;
Terdahulu, markah yang diraih Fuad hanya 58.30% sekaligus berada pada kedudukan yang terakhir dalam kalangan peserta yang bersaing.
Seorang lagi peserta iaitu Dina Nazir juga tersingkir di malam saingan konsert yang sama dan mereka turut bergandingan di pusingan duet menerusi lagu, Boneka.
Selepas berhempas pulas selama 10 minggu, enam peserta telah pun layak ke konsert akhir GV9 iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah, Tomok, Bob Yusof, Hazrul Nizam dan VE.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.