Para penonton di Kuala Lumpur sememangnya beruntung kerana menjadi saksi terawal untuk melihat penyanyi Indonesia, Pusakata kembali bergabung dengan kumpulan lamanya, Payung Teduh selepas hampir lima tahun membuat haluan sendiri.
Bagaimanapun, mereka kini mahu dikenali dengan mana baharu iaitu Parade Hujan.
Kembali mengadakan persembahan bersama, kehadiran Parade Hujan sememangnya membuatkan keterujaan peminat membuak-buak.
Masakan tidak, Konsert Senandung Malam Payung Teduh x Pusakata dan Efek Rumah Kaca yang berlangsung di Zepp KL hanya mengambil masa selama 30 minit untuk tidak habis dijual.
Usai persembahan daripada, Efek Rumah Kaca, tiba giliran Parade Hujan pula menggamatkan segenap ruang di Zepp KL.
Baru sahaja Pusakata memetik gitar, kerinduan hampir 3000 penonton seakan terubat sewaktu mereka membawakan lagu pembukaan yang berjudul Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan.
Mengimbau kembali sewaktu zaman-zaman kegemilangan Payung Teduh, mereka juga turut membawakan lagu-lagu popular seperti Di Atas Meja, Muram, Diujung Malam dan Berdua Sahaja.
Dalam pada itu, Pusakata atau nama sebenarnya Mohammad Istiqamah Djamad menzahirkan rasa syukur dengan perancangan Allah SWT yang menjentik hati mereka untuk bersatu semula sebagai sebuah kumpulan.
“Allah sememangnya mempunyai kuasa membolak-balikkan hati kita. Dia juga selalu memberikan kejutan dan mengatur setiap pertemuan dan perpisahan.
“Lalu berjumpa kembali dan berpisah selamanya untuk kembali di akhirat kelak. Kita bukan Payung Teduh lagi. Kita Parade Hujan,” katanya.
Dalam pada itu, Pusakata turut menjelas mengapa mereka memilih Parade Hujan sebagai nama baharu kumpulan mereka.
“Saya menyayangi Payung Teduh dan sebab itu saya mahu ia tetap ada. Pusakata juga tidak akan ada lagi secara sendiri. Kami akan bersama secara Parade Hujan.
“Kenapa perkataan Hujan itu ada? Kerana tiada hal lain selain keberkatan di dalam hujan. Kami satu band mahu merayakan keberkatan itu,” katanya lagi.
Dua lagu ikonik mereka iaitu Akad dan Menuju Senja sememangnya menggamatkan suasana apabila dijadikan sebagai lagu penutup.
Ini MH kongsikan suasana di konsert Pusakata X Payung Teduh yang berlangsung semalam.
Konsert Senandung Malam Payung Teduh x Pusakata dan Efek Rumah Kaca meru anjuran Neptunes Presents di bawah pengurusan pelakon Nabila Huda.
Sekadar informasi, selain Pusakata, Parade Hujan turut dianggotai oleh Comi Aziz Kariko (Kontra Bass), Alejandro Saksakame (Drum) dan Ivan Penwyn (Trumpet & Gitar).