
Pelakon dan pelawak, Zizan Razak akui masih terkilan selepas mendakwa pernah menjadi mangsa penipuan beberapa pihak serta kenalan terdekat sehingga terpaksa menanggung kerugian dalam nilai yang besar.
Bagaimanapun, Zizan tetap positif dan berlapang dada.
“Saya tak tahu bagaimana kejujuran mereka. Ada yang datang nak pinjam duit dan nak buat bisnes. Bila nak buat bayaran semula, mereka terus hilang. Kalau sebut fasal nilai, jumlahnya memang tinggi.
“Mungkin Allah akan berikan balasan kepada orang-orang yang tidak jujur ini. Saya harap, apa yang berlaku ini bukan dengan niat atau disengajakan.
“Saya pun tak tahu apa yang terjadi. Bila hantar mesej dan buat panggilan, ia tidak berjawab. Sangat berbeza perwatakan ketika mahu berkenalan, ajak berbisnes dan pinjam duit,” katanya kepada MH.
Ditanya bagaimana dia boleh kekal tenang, Zizan akui dia sentiasa bersyukur kerana Allah masih memberikannya rezeki yang tidak putus-putus.
“Individu tersebut memang rapat dengan saya. Yang tak rapat pun jadi rapat hanya kerana duit. Bagi pihak saya pula, nak kejar, dah macam pengemis.
“Lebih baik saya memilih untuk terus bekerja. Alhamdulillah Allah masih berikan rezeki buat saya. Saya masih boleh tersenyum kerana bukan saya yang tidak jujur.
“Saya buat kerja memang untuk Allah dan bukan kerana nak kaya sahaja. Saya nak bekerja demi menjaga hubungan jangka panjang, kejujuran dan amanah,” ujarnya lagi.
Kerana Duit Manusia Berubah
Dalam pada itu, Zizan tetap menganggap segala yang berlaku ini ada hikmahnya yang tersendiri.
“Bila berlaku perkara seperti ini, mungkin ada kesilapan daripada pihak saya dan Allah nak uji saya serta pihak itu juga. Mungkin daripada tiada duit, turus ada jutaan ringgit, orang boleh berubah.
“Bagi saya, kalau kita ada duit juta atau billion Ringgit, kita tak perlu berubah. Hak saya tetap hak saya. Begitu juga hak kamu.
“Apa yang saya lihat, akhir nanti, orang yang tidak jujur ini tak senang mana pun. Sekarang mungkin senang, lama-kelamaan akan susah juga. Kalau senang pun tak tenang. Saya tahu tidur mereka tak lena,” akhirinya.
Sebelum ini, Zizan mendedahkan dirinya telah menjadi mangsa penipuan wang ringgit daripada kenalan terdekat.
Perkara itu dikongsikan Zizan menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI