“Allahyarham Telah Ditembak Ketika…,” – Al-Fatihah, Pelakon Zulkifli Ismail Imbau Kisah 46 Tahun Lalu

Share

Pelakon senior, Zulkifli Ismail berkongsi keratan akhbar berkisar kes pembunuhan kejam Ketua Polis Negara ke-3, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim sekitar 46 tahun lalu.

Jelasnya, Allahyarham ditembak mati ketika berada di dalam kereta rasmi di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu di Kuala Lumpur.

Malah, bintang senior ini turut mengenang memori masih apabila berpeluang berjumpa empat mata dengan Abdul Rahman ketika arwah pulang ke kampung.

Ulas Zulkifli, dia yang ketika itu berusia 10 tahun beratur di tepi jalan bersama rakan yang lain untuk melambai dan tabik hormat terhadap beliau.

“Pada hari ini, 46 tahun yang lalu (7 Jun 1974) Ketua Polis Negara ke-3, Tan Sri Abdul Rahman Hashim telah meninggal dunia.

“Allahyarham telah ditembak ketika berada dalam kereta rasminya di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu di Kuala Lumpur.

“Saya masih ingat, tidak berapa lama selepas dilantik sebagai KPN (1973).

“Allahyarham telah balik ke rumah bapa mentuanya di kampung saya, Alor Janggus. Saya yang ketika itu berusia 10 tahun telah beratur di tepi jalan bersama-sama kawan-kawan untuk melihat wajah KPN dari dekat.

“Sewaktu keretanya lalu di depan kami, dengan penuh semangat kami melambai lambai ke arah Allahyarham. Ada juga yang membuat tabik (saya le tu).

“Saya cukup teruja. Maklumlah budak kampung umur 10 tahun dapat tengok Ketua Polis Negara. Semoga roh Allahyarham sentiasa berada dalam rahmat Allah dan ditempatkan bersama-sama roh para solihin,” kongsinya.

Al-Fatihah buat allahyarham.

Foto : Instagram Zulkifli Ismail

Published by
Noraini Abd Wahab