Penyanyi rap, Altimet menyatakan sokongannya buat pemain bola sepak negara dan Selangor, Faisal Halim yang kini sedang menerima rawatan selepas terlibat insiden ngeri disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah, baru-baru ini.
Menurut Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, dia yang kini sedang menunaikan umrah turut memanjatkan doa agar Faisal segera diberikan kesembuhan.
“Sekarang lebih kurang pukul 6.30 petang di kota Madinah dan saya berada di Masjid Nabawi untuk sembahyang Magrib.
“Saya juga akan mendoakan saudara Faisal Halim untuk sembuh sepenuhnya. Saya akan sentiasa di belakang dan menyokong awak Faisal,” katanya menerusi hantaran video di Instagram.
Pada masa sama, Altimet yang jug- penyokong pasukan Selangor itu berharap agar Faisal dapat kembali semula di atas padang selepas sembuh nanti.
“In Sha Allah saya akan lihat awak beraksi semula. Saya akan tengok awak kembali main bola dalam masa terdekat,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen merakamkan ucapan terima kasih buat Altimet selain turut sama menitipkan doa buat Faisal.
“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segala urusan di sana.
“Sama-sama kita doakan Faisal Halim semoga lekas sembuh.
“Allahuakbar, jaga diri di sana.
“Semoga Faisal dan Akhyar cepat sembuh dan kembali sihat. Kuatkan semangat. Kami rakyat Malaysia sentiasa ada di belakang,” antara komen-komen netizen.
Terbaharu, Faisal mengalami kelecuran tahap empat dan telah menjalani pembedahan kedua pada petang Selasa.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan, Faisal Halim telah selesai jalani pembedahan kedua yang berlangsung selama tiga jam dan keadaannya makin stabil.
Sementara itu, pasukan bola sepak Selangor telah pun melancarkan kempen anti-keganasan dalam bola sepak sebagai tanda solidariti buat Faisal.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.