Penyanyi Datin Alyah menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak yang menganggap dia tidak lagi mahu menyanyikan lagu-lagu berunsur cinta sesama kekasih.
Menurut Alyah, apa yang dimaksudkan ialah mesej sesebuah lagu yang akan dinyanyikan itu sebolehnya biarlah berlandaskan mesej baik dan sesuai didengari semua lapisan usia.
“Perlu untuk jelaskan, saya masih lagi menyanyikan lagu yang mempunyai unsur cinta, tapi yang mempunyai elemen kebaikan tentang apa yang ingin disampaikan.
“Contohnya, bukan yang macam… ‘bila kau tiada, aku mati’ tetapi ia lebih kepada… ‘kalau kau cintaiku, kahwinilah aku.’ Maksudnya, bait lirik biar cenderung kepada mesej yang baik, tak terlalu ‘lara’ atau meratap cinta pada pasangan.
“Apapun, saya hormati setiap buah karya lagu dan topik cinta itu juga luas dan subjektif. Terpulang kepada penerimaan masing-masing,” katanya.
Ditanya sejauh mana pendiriannya terhadap pemilihan lagu sedemikian ketika ini, isteri kepada pemuzik, Datuk Ramli MS itu percaya rezeki.
“Dalam soal ini, kita semua tahu siapa yang memberi rezeki. Tinggal lagi kita perlu usaha dan pasang niat dengan betul. InsyaAllah tuah itu akan ada di mana-mana.
“Malah saya sendiri tidak pernah jangka capaian Thank You Allah misalnya begitu luar biasa hingga ke hari ini. Meski dari segi persembahan itu kurang kerana situasi semasa, tapi dari segi media sosial ia amat baik, syukur alhamdulillah.
“Bukanlah nak kata lagu-lagu cinta saya sebelumnya tak jalan, tapi penerimaan baik terhadap percubaan Thank You Allah buatkan semangat saya jadi lebih besar. Dalam berkarya ni, kita perlu percaya bila ada suara, identiti akan ada jalan,” katanya.
Alyah ditemui pada majlis pelancaran cawangan ke-43 Mokti’s di Puncak Jalil, pada Sabtu.
“Kami saling kenal sudah lama dan saya turut tumpang gembira atas kejayaannya yang kian suskes dengan bisnes,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Alyah yang turut melancarkan jenama ‘ready to wear’ (RTW) Labeesa by Datin Alyah akan melancarkan single baru, awal tahun depan.
“Setiap kali saya buat siaran langsung di Instagram, saya selalu belanja bahagian chorus lagu tersebut. Saya perdengarkan kepada peminat sebelum ia dilancarkan.
“Lagu ini mengisahkan mengenai hubungan adik-beradik. Sebab kadang-kadang kita mungkin lupa bahawa hubungan saudara itu paling penting berbanding wang ringgit.
“Bagaimanapun, penceritaannya bukanlah kesinambingan kepada jalan cerita dalam muzik video Thank You Allah, tetapi elemen nilai hubungan kekeluargaan itu yang dikekalkan.
“Lagu tersebut masih tiada tajuk, hasil ciptaan saya sepenuhnya dengan lirik bersama Shah Samsiri. InsyaAllah lagu tersebut akan menjadi buah tangan pertama saya tahun 2022,” katanya.