Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melayangkan sebuah tweet menyatakan Salah menunjukkan amalan yang baik dengan membaca Al-Quran di dalam kapal terbang.
Ia berikutan bebenang yang mempersoalkan adakah Salah membaca Al-Quran ketika dalam penerbangan.
“Amalan yang baik, dan Salah melaksanakannya. Wajar kita contohi dan bukan hanya ditularkan. Jadikan Quran bacaan setiap masa,” tulis Menteri Agama itu.
Walau bagaimanapun, netizen mula keliru dan mempersoalkan mengapa membaca kitab suci Al-Quran di dalam kapal terbang salah sedangkan ia dituntut dalam agama.
Akhirnya ia terungkai apabila lelaki yang dipaparkan membaca Al-Quran itu merupakan bintang Liverpool kelahiran Mesir bernama Mohamed Salah Hamed Mahrous Ghaly atau sinonim dipanggil Salah di kalangan peminatnya seluruh dunia.
Malah, Salah juga merupakan antara pemain bola sepak Muslim yang tidak segan silu menunjukkan identiti Islamnya.
Dia dikatakan kerap dirakam di lensa kamera bersama naskhah Al-Quran tergenggam erat di tangan.
Foto : Twitter Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri