Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah menyifatkan dirinya masih belum layak untuk menerima pengiktirafan sebagai Biduan Negara walaupun sudah hampir lima dekad terlibat industri seni tanah air dan mempunyai barisan lagu hits yang malar segar hingga ke hari ini.
Menurut Jamal, masih banyak perkara yang harus dibuktikannya bagi memastikan gelaran ulung tersebut selayaknya diberikan kepada mana-mana anak seni.
“Saya rasa belum layak lagi. Mungkin dalam masa setahun atau dua tahun lagi. Kena tengok juga tentang penglibatan dan pengorbanan kita di dalam industri seni.
“Kena ambil kira juga sama ada nyanyian kita ini mampu memenangi hati para pendengar.
“Ada juga penyanyi yang tidak perlu pun diberikan anugerah tapi di hati peminat, meraka merasakan kita layak. Itu sudah cukup buat saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi yang terkenal dengan jolokan Raja Pop itu berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Jelas Jamal lagi, dia juga tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk berikan gelaran tersebut.
“Saya bersyukur jika ada yang mencadang nama saya. Namun, saya tidak terlalu mengharap. Jika penghormatan itu diberikan kepada saya, ia amat tinggi untuk saya terima,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai pengiktirafan yang diterima penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara, Jamal tidak tahu menahu mengenai anugerah itu.
“Saya pun tidak tahu siapa yang memilih dan dipilih. Jadi, saya tak boleh nak komen apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, Jamal teruja apabila diundang oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk turut sama- sama membuat persembahan konsert amal bersama Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra.
“Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak PDRM diatas kerjasama ini. Ini julung kalinya saya mengadakan konsert besar bersama PDRM.
“Saya akan menyanyikan lima buah lagu beserta beberapa lagu medley selain akan berkolaborasi bersama Jo Branko.
“Saya juga bakal mengadakan latihan studio bersama pancaragam PDRM dan rehearsal sebelum konsert bermula,” katanya.
Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra bakal berlangsung pada 28 Disember jam 9 malam bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka.
Selain Jamal, konsert amal ini turut menampilkan persembahan daripada artis-artis popular tanah air seperti Ziana Zain, Ella dan Jo Brandko manakala pelawak, Doughlas Lim sebagai hos acara.
Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra bakal diiringi kumpulan Orkestra PDRM yang terdiri daripada 75 pemuzik.
Program ini juga bertujuan untuk menambah dana dan memperkukuhkan kedudukan kewangan tabung kebajikan PDRM.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini