Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha mengakui hubungan percintaan bersama kekasihnya kini telah pun berakhir sejak sebulan yang lalu.
Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin kini reda dan mahu mahu pandang ke belakang. Sebaliknya, dia mahu terus fokus dalam kerjaya seni.
Bintang berusia 27 tahun ini telah menulis dan mencipta sebuah single terbarunya yang berjudul Penat.
“Sejujurnya, saya menulis lagu ini untuk merawat luka di hati dan ini adalah salah satu cara yang saya lakukan dapat merawat kedukaan di hati saya.
“Menulis ni boleh saya kata seperti macam nyawa untuk saya rasa bertambah baik dan lagu ni antara lagu yang paling sukar untuk ditulis.
“Meski ambil masa, akan tetapi ia sebenarnya susah untuk saya sebab banyak kali berhenti untuk menangis,” dedahnya jujur.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Projek Anchor SPM ini memberitahu, bukan satu perkara mudah untuk merakamkan lagu tersebut kerana perasaan dan emosinya yang tidak stabil.
“Sejujurnya, emosi saya tak stabil sebab saya baru sahaja melalui fasa putus cinta dalam situasi pandemik ini dan saya ekspresikan perasaan itu di dalam lagu.
“Tapi ia bukan bermakna saya mahu sampaikan tentang rasa kepedihan atau sakit putus cinta semata-mata, cuma dia lebih kepada situasi ‘penat’ dalam melalui fasa putus cinta. Apatah lagi dalam keadaan pandemik ketika ini.
“Perasaan seperti ini mungkib lebih sakit dan mendalam bagi saya. Jadi mungkin kerana itulah menyebabkan emosi serta mental saya kurang stabil.
“Apa pun saya sedar, bukan saya sahaja malah ramai yang turut melalui nasib yang sama dan sebolehnya saya mahu semua tahu walau saya kelihatan okey di media sosial, tapi sebenarnya itu semua hanya luaran sahaja.
“Oleh sebab itulah, saya menulis lagu tersebut sebab saya juga lalui macam mana orang lain juga rasa,” kongsinya lagi.
Sekadar informasi, Penat merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Daiyan dan telah dilancarkan di semua platform digital bermula sejak 20 Ogos lalu.
Foto: Instagram Daiyan Trisha