Pelakon baharu Ameerul Asyraf akui tersinggung apabila wataknya di dalam drama Lelaki Itu sering kali dibandingkan dengan pelakon-pelakon lekaki lain.
Bagaimanapun menurut Ameerul, dia percaya penerbit telah membuat keputusan terbaik atas kepercayaan sekaligus mahu membalas kepercayaan tersebut.
“Pada awalnya, saya agak sedih juga sebab dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain seperti Hun Haqeem, Meerqeen, Nadhir Nassar dan Nazim Othman.
“Bila kita sudah sering kali dihidangkan dengan barisan pelakon berwajah artis Korea, jadi, wajah-wajah Melayu seperti saya tidak berikan peluang.
“Namun, saya percaya Erma Fatima bukannya seorang penerbit yang main tangkap muat sahaja,” katanya kepada MH
Pada masa sama, Ameerul turut mendedahkan penampilannya di dalam drama tersebut sebenarnya hanyalah kehendak daripada pengarah sendiri.
“Sejak dua tiga hari lepas, saya rasa karakter yang saya bawakan itu berjaya walaupun mendapat kecaman daripada netizen.
“Watak itu memang diciptakan untuk dikecam. Ada netizen yang kecam rambut saya tapi rambut itu adalah permintaan pengarah.
“Pengarah pun kata saya berjaya bawa watak cuma kena tadah telinga sahaja,” katanya yang ditemui di majlis tayangan episod akhir Lelaki Itu, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ameerul akui kurang masa untuk membuat persediaan dari segi penambilan disebabkan jadual yang agak padat.
“Sebelum drama ini, saya baru selesai berlakon filem dan membawakan watak nelayan.
“Kemudian, saya kena jadi anak ikan pula. Saya hanya ada masa dua minggu untuk persediaan. Jadi, saya telah cuba yang terbaik,” ujarnya.
Katanya lagi, setiap kecaman yang diterima tidak sesekali mematahkan semangatnya.
“Kalau ada peluang untuk bawak watak ini lagi, saya tetap akan terima walaupun kecaman netizen Malaysia ini agak teruk juga.
“Saya baca komen dan sedikit sedih. Mereka bukan setakat body shamming tapi juga face shamming. Tak mengapalah, semuanya okay sahaja.
“Saya telah berjaya memberikan kebencian, itu bermakna watak saya berjaya,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini