Amelia Henderson Bersuara, Nafi Dakwaan Langgar Kontrak, Perjelas Sebab Tarik Diri

Share

Pelakon Amelia Henderson menjelaskan situasi susulan dakwaan tidak bersikap profesional berhubung isu perlanggaran kontrak sebuah drama terbitan A Aida Production Sdn Bhd.

Menerusi perkongsian video di Instagram pada Sabtu, Amelia menafikan segala dakwaan tersebut selain turut mendakwa, tempoh penggambaran drama tersebut juga telah tertangguh hampir sebulan seperti yang dijadualkan.

“Mengenai dakwaan saya telah melanggar kontrak pada saat akhir, tanpa prejudis terhadap hak saya, saya ingin memaklumkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada adalah tidak berasas dan tidak benar.

“Saya faham kontrak tersebut tapi saya tidak melanggarnya. Saya menandatangani kontrak tersebut pada Februari. Menerusi catatan saya, ia sepatutnya berlangsung pada 20 Mei hingga 17 Ogos.

“Apabila saya sign kontrak tersebut, saya belum dapat skrip penuh ataupun tarikh-tarikh yang telah ditetapkan selain seperti yang saya nyatakan tadi,” katanya.

Kata pemilik nama lengkap Amelia Thripura Henderson ini lagi, dia bersedia memberikan komitmen bagi menjayakan drama ini namun, pada ketika itu, dia masih lagi samar-samar dengan perancangan pihak produksi.

“Baru-baru ini, pada bulan Mei dan penggambaran belum mula lagi, skrip pun tak dapat lagi dan kita semua tertunggu-tunggu nak dapat tahu bila kita boleh mulakan produksi ini disebabkan kelewatan memberikan skrip.

“Walau apa pun yang terjadi dan disebabkan saya dah buat keputusan untuk tandatangani kontrak, saya sebenarnya bersedia untuk beri kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya pada team produksi.

“Saya hadir ke sesi bacaan skrip pada 12 Jun. Pada hari tersebut, kami masih belum tahu bila penggambaran ini akan dimulakan dan dah tertangguh hampir sebulan.

“Pada ketika itu juga, kami sedang berbincang mengenai tarian akhir drama tersebut kerana ia sudah melebihi tahap kontrak yang dah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak,” kongsinya lagi.

Dalam video sama juga, Amelia mendakwa selepas menandatangani kontrak, watak dalam skrip yang diterima seolah-olah tidak sama seperti mana yang ditawarkan ketika awal perbincangan sebelum ini.

“Pada mulanya, saya diberitahu watak yang akan saya bawakan didalam drama ini adalah watak pelakon utama wanita yang sangat kuat dan menonjol. Ia juga akan melibatkan aspek memperkasakan wanita yang semestinya saya sokong.

“Saya sangkakan watak ini akan jadi sangat bagus tetapi apabila saya sempat baca skrip sebanyak ini, saya dapat tahu ia sangat berbeza.

“Malah, skrip, jalan cerita dan dialog drama ini juga ada banyak melibatkan perkara berkaitan penderaan domestik dan pelbagai lagi isu misogynistic yang membuatkan saya rasa sangat stres dan risau,” ulasnya lagi.

Tambahnya lagi, sekiranya dia tetap meneruskan projek ini, reputasinya sebagai pelakon dan anak seni akan tercalar.

“Saya faham, tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon adalah untuk menjiwai watak diberikan.

“Tapi pada masa sama, saya serta orang-orang yang bekerja seperti saya ada tanggungjawab juga untuk menjadi contoh terbaik dan memberi kesan yang positif kepada masyarakat.

“Bil saya baca skrip ini, ia memang bertentangan dengan perinsip kepercayaan saya dan saya tak boleh nak terima. Lebih teruk apabila, watak ini tidak sama seperti apa yang diterangkan kepada saya,” akhirinya.

Pelakon Idris Khan juga sebelum ini tampil menegaskan bahawa beberapa dakwaan terhadapnya dalam sidang media baru-baru ini tidak tepat.

Terdahulu, Amelia Henderson dan Idris Khan didakwa telah melanggar penjanjian kontrak penggambaran sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali dan menarik diri pada saat akhir dengan alasan tidak munasabah.

Susulan penarikan diri itu, A Aida berkata pihaknya menanggung kerugian produksi sebanyak lebih kurang RM150,000.

Malah, Aida turut menyifatkan tindakan pelakon berkenaan sebagai tidak professional dan mengarut.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Amelia Henderson

Published by
Aizam Manaf