Hiburan

Amir Ahnaf Gembira Watak Kahar & Beja Jadi Inspirasi, Didik Anak Muda Erti Kasih Sayang & Cekal

Share

Pelakon, Amir Ahnaf akui teruja bila ada anak-anak muda yang menjadikan watak Kahar dan Beja yang dipaparkan di dalam filem Kahar: Kapla High Council sebagai sumber inspirasi.

Menurut Amir, jika filem ini ditonton dengan hati yang terbuka, ia sebenarnya mengajar anak-anak muda ini untuk terus cekal dalam mengharungi segala cabaran hidup dan erti kasih sayang.

“Saya rasa perkara ini bagus. Kenapa mereka jadikan watak-watak ini sebagai idola? Sebab mereka nampak betapa kuatnya semangat yang dipaparkan melalui watak Kahar dan Beja.

“Mereka tahu, kehidupan mereka di luar ini sangat lemah dan tiada sesiapa untuk mereka bergantung. Bila mereka berjumpa kami, mereka kata lakonan kami terbaik.

“Bila kami berborak, tanpa kita sedar interaksi itu yang memberikan impak positif kepada diri mereka,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, bintang kelahiran Hero Remaja 2021 ini turut menyeru kepada semua pihak untuk sentiasa mengambil berat tentang orang-orang di sekeliling terutamanya keluarga sendiri.

“Semakin berganti generasi, kita sendiri tak perasan bahawa kesihatan mental generasi muda masa kini lebih teruk berbanding zaman kita dahulu.

“Ditambah pula bila wujudnya platform media sosial. Buli siber ini makin berleluasa. Bila kita tegur secara terbuka, ada pihak yang tak bersetuju.

“Bila kita paparkan nilai kasih sayang di dalam filem ini, saya harap orang faham dan dapat pengajaran.

“Jadi, jagalah diri sendiri, kawan-kawan, mak ayah dan adik beradik. Sentiasa tanya khabar mereka. Okay atau tidak. Kalau ada yang nak diluahkan, kita dengar,” katanya lagi.

Pada masa sama, Amir juga tidak bersetuju bila ada pihak yang melabelkan generasi mida masa kini terlalu manja dan rapuh.

“Kita dahulu pun manja juga. Mak ayah pun selalu marahkan kita. Pada saya, tiada istilah generasi sekarang ini manja. Semua orang manja.

“Manja itu memang sifat semula jadi manusia. Kita memang diciptakan untuk menjadi sensitif. Jadi, kenapa nak salahkan orang lain bila mereka manja?,” ujarnya.

Terdahulu, filem Kahar: Kapla High Coucil telah meraih kutipan RM5.5 juta sejak tayangan rasmi pada 28 November lalu.

Selain Amir, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Fadhli Masoot, Sky Iskandar, Husyairi Hussin dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf