Pelakon Amir Ahnaf akui terkejut apabila membaca artikel berkenaan hubungannya bersama salah seorang anggota Dolla, Angel, selepas dia hadir menonton konsert sulung ‘girlgroup’ itu di Zepp KL, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, tidak menafikan mereka sebenarnya sudah saling mengenali sejak tahun lalu.
“Bila bangun pagi, saya ada terbaca sebuah artikel mengenai perkara itu. Saya hadir untuk menyokong Angel dan saya memang salah seorang peminat Dolla.
“Sejak debut mereka lagi, saya sudah teruja memandangkan kita akhirnya ada girl group yang ada potensi besar untuk kembangkan bakat ke peringkat antarabangsa.
“Siapa lagi yang nak sokong kalau bukan kita. Itu sajalah,” katanya ketika ditemui di majlis Wrap Party Kahar Kapla High Council, di Six In The City, Petaling Jaya, pada Rabu.
Amir turut menjelaskan dia ada menghubungi Angel secara peribadi untuk bertanya mengenai konsert tersebut.
“Kita ada bermesej dan saya tanya bila tarikh konsert. Lalu dia tanya sama ada saya nak hadir atau tidak dan saya memang tidak mahu lepaskan peluang untuk menonton persembahan mereka.
“Macam itu sajalah… as simple as that,” katanya yang turut meminati beberapa buah lagu Dolla seperti Bad dan Classic.
Amir pada masa sama terbuka sekiranya ada rezeki untuk saling bekerjasama dengan kumpulan MPop itu, misalnya menerusi penghasilan muzik video mana-mana single Dolla selepas ini.
Terdahulu, kehadirannya ke konsert sulung Dolla, Dolla Re: Birth The Experience mengundang spekulasi warganet mengenai sejauh mana hubungannya dengan Angel.
Pada malam konsert itu, Amir difahamkan baru saja selesai menjadi model untuk satu acara pertunjukan fesyen di ibu kota sebelum bergegas ke konsert bersama rakan pelakon, Hazeeq Dean.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini