Orangnya manis bertudung, lembut budi bahasanya. Bukan sahaja berbakat dalam nyanyian, malah Amira Othman yang dikenali menerusi lagu Hati-Hati ini juga membuktikan bakat lakonannya juga tidak kurang hebatnya.
Menjadi watak utama dalam drama I Love You Abang Bomba, penyanyi dan pelakon yang pernah bergelar pelajar Akademi Fantasia ke-10 punya ceritanya tersendiri.
Bertanya apakah perancangannya untuk musim perayaan ini, Amira memberitahu kepada MH Online dia bakal muncul di beberapa program raya yang diterbitkan oleh Astro.
“Raya ini akan ada beberapa program yang saya akan akan shoot, mostly program ini adalah daripada Astro,” jelasnya.
Bila ditanya lagi apakah perancangannya selepas raya, dia memberitahu mungkin akan keluarkan satu single kerana sudah lama tidak keluarkan lagu terbaru.
“Ya, saya memang seorang yang agak cerewet dalam memilih lagu. Jadi memang saya mengambil masa yang lama. Tahun ini saya masih tidak release apa-apa lagu lagi dan kali terakhir saya keluarkan lagu Hati-Hati adalah tahun lepas.
“Saya harap sangat tahun ini saya jumpa lagu yang punyai melodi yang sedap dan boleh memikat semua golongan usia,” ujarnya.
Mempunyai impian untuk dapat berkerjasama dengan adiknya, Irfan Haris di masa hadapan, Amira akui tidak mahu menganggu adiknya dalam masa terdekat kerana menghormati waktu pembelajarannya.
“Buat masa ni memang susah, adik saya masih belajar dan tinggal di Johor, manakala saya sudah menetap di Kuala Lumpur pula. InsyaALLAH kalau dia dah habis sekolah dan tinggal berdekatan mungkin kami akan cuba plan sesuatu. Cuma buat masa ni masih belum ada kesempatan lagi,” katanya lagi.
Amira akui walaupun kini dunia lakonan semakin dekat padanya dia tetap merasakan keutamaanya ialah bidang nyanyian.
Walaubagaimana pun Amira tetap tidak akan menolak jika diberi peluang untuk melakonkan sesebuah watak kerana menganggap ia sebagai satu platform yang baik untuk mengembangkan bakat.