Pelakon Ammar Alfian memfailkan satu permohonan untuk menyita dan menjual aset bernilai RM500,000 daripada premis gimnasium Guardian Fitness yang telah gagal membayar penghakiman pada bulan Februari 2020.
Pengurus krisis dan jurucakap Ammar Alfian, Saiful Ridzuan dari Saiful Ridzuan Public Relations and Communications berkata, notis permohonan tersebut telah disempurnakan pada Khamis.
Menurutnya dalam satu kenyataan, lelongan akan dilakukan dalam tempoh 14 hari sekiranya wang tersebut tidak dibayar kepada Ammar.
Terdahulu pada 24 Februari 2020, Ammar telah mendapat satu penghakiman berjumlah RM500,000 ribu ke atas syarikat Guardian Fitness Sdn. Bhd. kerana syarikat tersebut telah menipu dan melakukan salah nyata semasa mempelawa Ammar untuk melabur lebih dari RM400,000 sebagai balasan untuk ekuiti saham 30% peratus dalam perniagaan syarikat tersebut.
Ammar telah memeterai perjanjian perniagaan tersebut pada tahun 2016 melalui pelawaan oleh Lee Chung Howe yang merupakan salah seorang pengarah Guardian Fitness Sdn. Bhd. Mahkamah bersetuju dengan pihak peguam Ammar yang syarikat itu telah membuat untung dan rugi yang dipalsukan supaya beliau melabur ke dalam syarikat tersebut.
Ekuiti saham yang dibayar oleh pelakon itu adalah untuk pegangan minoriti bagi gimnasium Anytime Fitness berkeluasan 8000 kaki persegi yang terletak di tingkat 2 di Menara Hap Seng 2, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.
Peguam sivil dan korporat yang mewakili Ammar Alfian, Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates and Solicitors berkata, permohonan tersebut dibuat mengikut aturan undang-undang yang memberi kuasa kepada pihak Ammar untuk mendapatkan satu perintah bagi menyita dan menjual aset kepunyaan gimnasium tersebut dan melarang defendan untuk menguruskan harta yang telah disita tersebut.
“Saya menyatakan bahawa ianya adalah penting untuk anak guam kami, Ammar Alfian mendapat kembali wang yang telah dilaburkan serta kos guaman setelah pihak Guardian Fitness Sdn. Bhd. enggan, gagal, abai dan cuai dalam membayar penghakiman.
“Kami akan memastikan anak guam kami mendapat hak undang-undangnya,” tambah Nurul Hafidzah Hassan.
Nurul Hafidzah turut dibantu peguam Zeti Zulkifli bagi kes penipuan dan salah nyata tersebut.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI