Anggota kumpulan V.E, Fakhiz mendedahkan anak perempuannya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kerap membuang najis dan muntah-muntah.
Susulan itu hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam usus serta darah bayinya, Jauza Hanania yang baru berusia dua bulan.
“Sebelum ditahan wad, anak saya asyik berak-berak, dan muntah. Mula-mula dalam dua tiga hari begitu, ia tak serius. Sekejap okay dan sebalikya.
“Tapi pada Isnin lalu, anak alami muntah yang mana warnanya lebih kurang macam najis. Terus kami bawanya ke hospital.
“Dia alami dehidrasi dan doktor kata dia perlu dimasukkan air dan kemudian dua hari, diberikan antibiotik. Semalam, dia tidak beri respon sangat. Minum tak nak. Mata dia pun macam…mata orang yang reda,” katanya kepada MH.
Fakhiz yang kini bersaing di Gegar Vaganza 9 (GV9) menjelaskan menurut doktor, bahagian ususnya ada jangkitan kuman.
Terdahulu, Fakhiz memaklumkan keadaan anak bongsunya itu yang terpaksa menerima rawatan di Hospital Shah Alam disebabkan keracunan makanan, sejurus membuat persembahan.
Fakhiz berharap agar semua dapat mendoakan keadaan anaknya yang masih dalam keadaan lemah hingga terpaksa diberikan susu melalui hidung.
Sementara itu, Fakhiz turut berpesan kepada isterinya agar reda dengan apa yang sudah berlaku dan akan datang atas ujian yang menimpa.
“Saya ada berpesan dengan isteri, apa pun jadi baik atau tidak, kita kena reda. Perkara yang dah lepas dan apa yang akan datang, kena reda. Sekarang ini kita usaha.
Mungkin kita pun ada silap dan lalai…Allah nak ‘tegur’. Sebab kita sayang anak kita lebih daripada sayang Dia… itu cara saya fikir,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini