“Anak-Anak Sempurna Di Mata & Hati Saya, Tak Ramai Ibu Bapa Yang Bertuah, Bernasib Baik,” – Noor Kartini

Share

Ibu kepada selebriti terkenal, Noor Neelofa, Datin Noor Kartini enggan mencampuri sebarang urusan melibatkan keluarga anak-anaknya.

Menurut Kartini, dia merasakan anak-anaknya yang sudah berumah tangga sudah cukup matang untuk membuat sebarang keputusan di dalam hidup mereka.

“Saya tak mahu jawab mengenai Nabila sebab dia sudah berkeluarga dan dewasa. Kalau nak tahu apa-apa, kena tanya dia sendiri.

“Namun, untuk Amira pula, dia masih dalam perlindungan saya sebab dia masih lagi dibawah jagaan saya.

“Saya sebolehnya tak mahu campur sebab saya nak bergembira sahaja dengan anak-anak dan cucu,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, Kartini merasakan dirinya sangat bertuah kerana dikurniakan kasih sayang daripada anak-anak yang sentiasa menjadi penyejuk hatinya.

“Bagi saya, anak-anak saya sempurna di mata dan di hati saya. Saya rasa tiada lagi perkara yang saya nak rungutkan.

“Tidak ramai ibu bapa di luar sana yang bertuah, bernasib baik dan beruntung yang diberi nikmat Allah SWT seperti mana yang saya dapat iaitu kasih sayang dalam keluarga anak-anak saya,” ulasnya lagi.

Terdahulu, Noor Nabila telah sah bercerai talak satu dengan suami, Engku Emran Engku Zainal setelah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Lafaz cerai tersebut telah dibuat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin.

Sekadar informasi, Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021 namun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Sebelum berkahwin dengan Engku Emran, Nabila pernah berkahwin dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Noor Nabila & Ameera Khan

Published by
Aizam Manaf