Hiburan

“Anak Guam Saya Diam Sebab Fokus & Hormat Mahkamah,”- Peguam Aliff Aziz & Ruhainies

Share

Peguam syarie mewakili pelakon kontroversi Aliff Aziz dan Ruhainies, Amirul Ashraf Ghani tampil mempertahankan tindakan kedua-dua anak guamnya itu yang enggan memberikan sebarang kenyataan selepas selesai prosiding kedua kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pagi tadi.

Menurut Amirul, Aliff dan Ruhainies tidak memberikan sebarang kenyataan bagi menghormati pihak mahkamah.

“Mungkin mereka tak mahu memberikan sebarang komen kerana bimbang kenyataan akan mendahului prosiding mahkamah. Kedua, kita menghormati prosiding mahkamah hari ini

“Jadi, mungkin anak guam saya kedua-duanya fokus untuk kes ini dan tak mahu keluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan hingga menganggu prosiding mahkamah,” katanya kepada MH.

Mengulas mengenai prosiding yang berlangsung pagi tadi, Amirul memaklumkan berlakunya pertukaran pihak penjamin bagi pihak Aliff.

“Kalau ikutkan prosiding hari ini ada pertukaran penjamin dan serahan beberapa dokumen oleh pihak pendakwaan untuk perbicaraan.

“Ada pertukaran penjamin sebab yang sebelum ini ada komitmen kerja.

“Kita faham penjamin ini bukan sekadar di atas kertas, tapi ada obligasi untuk memastikan kehadiran orang yang dijamin.

“Kita sudah maklumkan kepada mahkamah dan diluluskan atas alasan yang mewajarkan keputusan berkenaan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Amirul turut menafikan ada berlakunya ketegangan diantara anak-anak guamnya dengan pihak pendakwaraya.

“Tiada ketengan antara anak guam dan pendakwa syarie. Biasalah itu prosiding yang teratur dan dijalankan mengikut sebagaimana mahkamah perintahkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai keputusan mahkamah berhubung kes khalwat ini, Amirul masih dengan pendirian kedua-dua anak guamnya itu tidak bersalah.

“Kalau ikut rekod kami, anak guam kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan memohon untuk kes ini dibicarakan.

“Ditetapkan pada sidang 20 Februari 2025 untuk keterangan dikemukakan pihak pendakwaan,” akhirinya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan dua hari, iaitu 20 dan 27 Februari 2025 bagi perbicaraan kes khalwat antara Aliff Aziz Ruhainies.

Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadangkan.

Pegawai Pendakwa Syarie, Masroha Duki dan Mohd Nahar Mohamad dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan bahawa pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen kes antaranya senarai saksi-saksi.

Mendengar perkara itu, peguam syarie mewakili Aliff dan Ruhaninies mengesahkan dokumen berkenaan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf