Ajal dan maut di tangan tuhan, tiada siapa yang tahu bila insan tersayang akan menghembuskan nafas terkahir. Inilah yang terjadi kepada penyanyi Chris Daughtry yang baru kehilangan anaknya.
Penyanyi dan juga bekas peserta American Idol itu segera terbang pulang dari konsert jelajah setelah mendapat perkhabaran anak tirinya, Hannah, 25, meninggal dunia secara mengejut di rumahnya sendiri di Nashville, Amerika Syarikat.
Disahkan meninggal pada Jumaat waktu tempatan, mayat Hannah dijumpai oleh Jabatan Polis Nashville. Mendiang merupakan anak hasil perkahwinan isteri Chris, Deanna Daughtry yang pertama. Walaupun dia sekadar anak tiri Chris, hubungan mereka rapat sebagai satu keluarga.
“Disebabkan kematian anak perempuan Chris dan Deanna Daughtry, Hannah secara mengejut, semua rancangan yang telah dijadualkan pada minggu akan datang untuk Chris telah ditangguhkan,” kata wakil penyanyi itu dalam satu kenyataan kepada sumber pada hari Jumaat.
Menyambung lagi kenyataan itu, “Keluarga Chris mengucapkan terima kasih atas pemahaman anda dan dengan penuh hormat meminta privasi ketika waktu yang sangat sukar ini. Butiran lanjut akan diberikan pada masa akan datang. Siasatan terhadap kematian tragis ini masih diteruskan.”
Selain Hannah, Chris turut memiliki seorang lagi anak tiri, Griffin. Hasil perkahwinannya dan Deanna, Chris dikurniakan sepasang cahaya mata kembar, Adalynn Rose dan Noah James yang berusia 10 tahun.
Chris mula terkenal dalam dunia seni tarik suara Hollywood apabila dia menyertai pertandingan realiti popular, American Idol musim kelima pada tahun 2006. Hasil populariti yang dikecapi, dia pernah empat kali dicalonkan dalam anugerah Grammy.
Sumber: (1)