Penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor mendedahkan akan menerima seorang lagi menantu lelaki hari ini.
Menurut Rosyam, anak keduanya, Nur Anis, 26, akan dinikahkan dengan pilihan hatinya yang berusia 29 tahun di Kuala Lumpur.
“Anak saya (Anis) akan berkahwin hari ini di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah majlis resepsi akan diadakan pada hari Sabtu diikuti dengan majlis di sebelah pihak lelaki pada minggu hadapan.
“Ini majlis perkahwinan anak saya yang kedua. Untuk kali ini majlis hanya dibuat secara sederhana memandangkan ekonomi sekarang tidak bagus,” katanya kepada MH.
Terdahulu, bintang senior ini ditemui di majlis tayangan perdana filem Motif di e@Curve, Damansara pada Khamis.
Menurut pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin ini lagi, dia sejujurnya tidak mencampuri urusan pemilihan pasangan hidup anaknya.
“Anak saya yang nak kahwin bukan saya. Saya percaya dengan jodoh. Kalau dia memilih individu tersebut jadi baik buruk haruslah ditanggung dan diterima.
“Saya menguruskan dia sehinggalah dewasa dan kini bakal memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.
“Alhamdulillah ada pihak yang inginkan anak saya, kalau tak ada lagi saya pening,” seloroh Rosyam.
Terdahulu, selain Rosyam, filem Motif turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Taqim Zaki, Emma Tosh, Azhan Rani dan ramai lagi.
Filem arahan Nadiah Hamzah ini bakal ditayangkan di pawagam mulai 26 September ini.