Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa akui mempunyai sebab tersendiri mengapa dia memilih untuk menceritakan kisah pergolakan rumah tangganya kepada umum di dalam filem dokumentari ‘All Access To Rossa 25 Shining Years’.
Menurut Rossa, sekarang merupakan waktu yang terbaik untuk merungkai segala persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya.
“Saya merasakan ini waktu yang tepat dan semuanya sudah dalam keadaan yang baik-baik. Tidak akan ada lagi fitnah dan pihak-pihak yang akan berasa rugi.
“Seperti yang diceritakan di dalam filem, anak saya seperti belum berdamai dengan keadaan dan perasaannya. Namun, sejak akhir-akhir ini, semua sudah baik-baik sahaja,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Hey Ladies ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem ‘All Access To Rossa 25 Shining Years’ yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur pada Isnin.
Katanya lagi, hubungannya bersama bekas suami yang juga merupakan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo itu kini semakin akrab dan mereka mahu sama-sama membesarkan anak, Rizky Langit Ramadan dengan baik.
“Penceraian kami sudah lama berlaku. Kini saya faham, ada pasangan yang sesuai sebagai suami isteri dan ada juga yang hubungannya tidak berpanjangan.
“Saya bukan nak kata perceraian itu satu hal yang baik tapi bagi saya, ia merupakan salah satu jalan keluar daripada hal yang lebih buruk.
“Pada saya, untuk menukar perasaan cinta itu tidaklah sulit. Namun, setiap orang ada cara yang berbeza.
“Saya dan Yoyo kini sudah seperti abang dan adik. Tanggungjawab sebagai ibu bapa tetap ada. Kami sentiasa menyokong kerjaya dan kehidupan peribadi masing-masing,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada anaknya itu pernah meluahkan hasrat untuk melihat Rossa dan bekas suami kembali bersama sebagai pasangan suami isteri, wanita anggun itu menjawab ringkas.
“Tidak. Justeru, jika ditanya kepada Rizky, dia lebih suka dengan keadaan sekarang. Dia senang melihat saya bahagia seperti ini,” jawabnya.
Sementara itu, Rossa turut mengakui bukan mudah buat dirinya untuk kembali bangkit selepas perceraian dengan bekas suami pada tahun 2009.
“Setiap daripada kita mempunyai takdir yang berbeza. Walau apapun, kita tetap harus bersyukur dan untuk mengharunginya adalah pilihan kita.
“Kita boleh sahaja menangis dan berhenti berjalan tapi itu tidak membawa kebaikan. Pada saya, wanita ini dikurniakan pelbagai kelebihan. Kita mampu buat pelbagai perkara dalam satu masa.
“Jadi, sewajarnya kita harus bangkit dan bekerja buat diri sendiri serta memberikan manfaat buat keluarga,” akhirinya.
Terdahulu, filem dokumentari Rossa ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Oktober ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Kredit Foto: Instagram Rossa